INDIVIDU yang tidur kurang lima jam sehari berisiko menghidap penyakit pada usia 50-an.
Penyelidik menjelaskan, masalah kesihatan boleh mengganggu tidur, namun tidur yang singkat juga boleh meningkatkan risiko kesihatan.
Malah, terdapat bukti bahawa tidur dapat membantu memulih, merehat dan meremajakan badan serta minda seorang.
Kajian dilakukan PloS Medicine terhadap pola kesihatan dan tidur kakitangan awam di Britain mendapati, golongan yang tidur kurang daripada lima jam sehari sangat berbahaya.
Menurut kajian itu, golongan yang tidur selama lima jam atau kurang memiliki risiko 30 peratus lebih besar menghidap penyakit pada usia sekitar 50 tahun, berbanding mereka yang tidur selama tujuh jam.
Malah, tidur yang singkat pada usia 50 tahun dikaitkan dengan risiko kematian akibat penyakit kronik.
Sementara itu, Pengarah Pusat Tidur Surrey, Prof. Derk Jan Dijk berkata, hasil kajian tersebut mengesahkan bahawa tidur yang singkat tidak baik untuk kesihatan.
“Persoalan besar di sini adalah mengenai faktor yang menyebabkan sesetengah orang menghadapi masalah kurang waktu tidur.
“Kita perlu berusaha bagi meningkatkan waktu tidur mereka,” katanya.
Tambahnya, waktu tidur merupakan gaya hidup yang boleh disesuaikan mengikut kehendak seseorang.