fbpx

Hajat Hamilton mungkin tak sampai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMILTON hampir memenangi aksi di GP Amerika Syarikat, namun berjaya dipintas oleh Verstappen. – AFP

AUSTIN, Amerika Syarikat – Pelumba utama Mercedes, Lewis Hamilton mengakui impian untuk mempertahankan rekod cemerlang dengan menjuarai sekurang-kurangnya satu perlumbaan Grand Prix (GP) setiap musim mungkin tidak kesampaian.

Sejak bergelar pelumba profesional F1 pada tahun 2007, Hamilton berjaya mencipta rekod unik dengan menjuarai sekurang-kurangnya satu perlumbaan GP, tetapi gagal berbuat demikian pada saingan musim ini.

Peluang terbaik Hamilton ha­dir pada GP Amerika Syarikat minggu lalu sebelum dipintas juara dunia musim ini yang juga pelumba utama pasukan Red Bull, Max Verstappen.

Hamilton mengakui perlu bersikap realistik kerana jentera yang dibekalkan oleh Mercedes pada musim ini tidak mampu memberikan saingan yang diharapkan dalam misi menjuarai mana-mana perlumbaan ketika ini.

“Kita harus akui pasukan Red Bull berada dalam kelas tersendiri musim ini dan saya mahu bersikap realistik kerana sukar untuk saya walaupun untuk menjuarai sekurang-kurangnya satu perlumbaan.

“Pada GP Amerika Syarikat, pasukan berjaya memberikan saingan yang diharapkan sehingga mendahului perlumbaan, tetapi mudah dipintas Red Bull pada penghujung saingan.

“Situasi berbeza dengan pasukan Ferrari yang mempamerkan prestasi yang cukup baik pada sesi latihan dan kelayakan, tetapi ketika perlumbaan sebenar, mereka tidak dapat kekalkan rentak konsisten ketika hari perlumbaan sebenar.

“Apa yang pasti, saya perlukan tuah selain mengharapkan jentera pesaing tidak berada pada prestasi terbaik pada tiga perlumbaan akan datang untuk menghidupkan peluang bergelar juara GP musim ini sekurang-kurangnya untuk satu perlumbaan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN