fbpx

Bina perpustakaan digital dengan peranti e-pembaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERANTI Kabo Clara 2E membolehkan pengguna memuat turun sehingga 12,000 e-buku atau 75 buku audio.

SEIRING perkembangan bidang teknologi, pembacaan secara digital telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

Kini, banyak bahan bacaan secara digital boleh diakses dengan mudah melalui gedung e-buku di platform pintar.

Menyedari penerimaan baik terhadap teknologi tersebut, Rakuten Kobo yang merupakan pelopor terkemuka dunia dalam e-buku dan bahan bacaan digital telah melancarkan rangkaian peranti e-pembaca serta gedung buku tempatan di negara ini.

Langkah tersebut seiring dengan pengembangan di peringkat global serta misi menambah baik pengalaman membaca masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Kobo, Michael Tamblyn berkata, para peminat buku di negara ini boleh mendapatkan berjuta-juta e-buku dan buku audio menerusi kobo.com.

Menurutnya, pembaca boleh mendapatkan bahan bacaan digital dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil di platform tersebut.

Kongsinya, ia secara tidak langsung dapat memudahkan ulat buku membina perpustakaan digital dengan menggunakan bahan bacaan kegemaran mereka.

“Dalam usaha mengembangkan sayap ke pasaran baharu, kami dapati minat membaca bahan bacaan digital terus berkembang di seluruh dunia.

“Kami teruja dapat membawakan pilihan bahan bacaan digital kepada para pembaca dengan menawarkan buku-buku terkemuka tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Tamblyn berkata, peranti e-pembaca yang ditawarkan pihaknya sesuai dengan keperluan membaca secara digital di setiap peringkat.

Malah, Rakuten Kobo menyediakan peranti asas yang mudah digunakan untuk e-pembaca.

“Peranti Kobo Clara 2E yang dilancarkan ini juga memberi pengalaman membaca menarik dan unik.

“Malah, peranti ini dibina berteraskan usaha bagi mencapai kelestarian terhadap alam sekitar,” jelasnya.

Sementara itu, peranti Kobo Clara 2E menyediakan kaedah lebih mesra alam bagi membaca dan mendengar.

Ini kerana, peranti tersebut dibina dengan kerangka luar yang 85 peratus diperbuat daripada plastik kitar semula termasuk 10 peratus plastik yang dibuang ke laut.

Kobo Clara 2E ialah peranti Kobo yang paling mesra alam setakat ini.

PENGGUNA boleh membaca sehingga lewat malam dengan menggunakan mod gelap dan ComfortLight yang terdapat pada peranti Kabo Clara 2E.

Selain itu, peranti tersebut mempunyai ketahanan bateri selama berminggu-minggu dan disertakan ruang simpanan sebesar 16GB bagi memuat turun sehingga 12,000 e-buku atau 75 buku audio.

Peranti itu juga dilengkapi skrin tanpa kilau berukuran 6 inci dengan mod gelap dan ComfortLight Pro.

Skrin tersebut dapat membantu mengurangkan cahaya biru, sekali gus membolehkan pengguna membaca sehingga lewat malam tanpa menjejaskan kualiti tidur mereka.

Peranti itu juga boleh bertahan di dalam air selama sejam pada kedalaman sehingga dua meter.

Menariknya, pembinaan Kobo Clara 2E dapat memenuhi komitmen syarikat tersebut untuk beralih kepada penggunaan bahan kitar semula tanpa menjejaskan keperluan teknikal peranti berkenaan.

Para penggemar buku juga boleh mendapatkan bahan bacaan melalui peranti berkenaan tanpa perlu sangsi terhadap kesan alam sekitar.

Selain Kobo Clara 2E, syarikat terbabit juga memperkenalkan pilihan rangkaian lengkap e-pembaca Kobo yang lain termasuk Kobo Nia, Kobo Libra dan Kobo Sage untuk para pembaca.

Sementara itu, pada pelancaran tersebut, Rakuten Kobo telah menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat pengedar, Ingram Micro Malaysia (IMM).

Menerusi kerjasama tersebut, rangkaian produk dan peranti Rakuten Kobo dapat diedarkan menerusi para peniaga runcit utama di seluruh negara.

Pengarah Urusan Eksekutif IMM, Devan Parinpanayagam berkata, pihaknya telah menjalinkan kerjasama jangka panjang dengan Rakuten Kobo di seluruh dunia.

Dia memaklumkan, pihaknya ingin membantu jenama tersebut terus berkembang menerusi pengedaran kukuh di negara ini.

“Kami amat gembira dapat berganding bahu dengan mereka sekali lagi di negara ini.

“Menerusi kerjasama ini, kami dapat membawakan peranti bacaan digital bertaraf dunia kepada masyarakat. Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan lebih ramai orang membaca,” katanya.

Tambahnya, Rakuten Kobo juga dapat membantu orang ramai membaca di mana-mana sahaja dengan menggunakan kemudahan e-pembaca.
Peranti Kobo Clara 2E boleh didapati daripada pengedar sah di seluruh negara pada harga RM699.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI