PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun mengingatkan tujuan wanita memakai niqab adalah untuk tidak menarik perhatian orang lain dengan cara menutup wajah.
Ustazah Asma’ melalui sebuah video di media sosialnya berkata, mata dan mulut adalah tarikan utama yang akan mengundang perhatian orang ramai.
“Pakai niqab, tetapi mata sangat cantik. Tujuan pakai niqab untuk tidak menarik perhatian, mata dengan mulut tarikan yang kuat bagi wajah sama ada lelaki ataupun perempuan.
“Saya bukan tujukan kepada wanita berniqab sahaja. Semua wanita, cuma bila pakai niqab, keinginan lelaki untuk melihat kecantikan wanita itu kadang-kala lebih. Bila mereka tengok mata yang dicantikkan berlebih-lebihan, mereka membayangkan lebih lagi, Subhanallah Allahuakbar,” katanya.
Dalam pada itu, Ustazah Asma’ memaklumkan Islam tidak melarang wanita untuk berhias, tetapi perlu tahu batas-batas yang dibenarkan syarak.
“Sama ada pakai niqab atau tidak, maksudnya biarlah wajah kita ‘natural’, kecuali mungkin pakai bedak sikit, ‘sunblock’ atau krim untuk menutup cela.
“Itu kalau kita baca yang ditulis jabatan mufti iaitu dibenarkan syarak supaya ada keyakinan diri, diri itu lebih bersih dan kemas dengan tujuan tersebut. Jangan sampai bertabaruj,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE