KUALA LUMPUR – Tiada isu yang menuduh kerajaan mengadakan hari membuang undi pada hari bekerja apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 19 November depan adalah pada hari Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hari mengundi adalah pada hari Sabtu, kerajaan telah tetapkan hari tersebut dan memberi hak kebebasan kepada rakyat untuk mengundi.
“Ada yang kononnya berkata kerajaan nak buat ‘trick’ menetapkan hari mengundi pada hari bekerja untuk halang orang balik mengundi.
“Ini tidak betul, kita telah tetapkan pada hari Sabtu. Kita bagi kebebasan sepenuhnya untuk rakyat mengundi kerana itu hak yang dijamin oleh perlembagaan,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi di Bukit Aman di sini hari ini.
Tambah Ismail Sabri, jika kerajaan menetapkan hari mengundi pada hari Ahad, ada negeri yang bekerja pada hari berkenaan.
“Kalau kita buat hari Jumaat, ada juga negeri yang kerja hari Jumaat, jadi kita tetapkan pada hari Sabtu semua negeri cuti,” katanya. – KOSMO! ONLINE.