PETALING JAYA – Majlis pernikahan pasangan pelakon popular, Sweet Qismina dan Adam Lee yang berlangsung semalam masih menjadi bualan ramai peminat.
Manakan tidak, Sweet tampil manis bertudung sewaktu majlis akad nikahnya yang berlangsung di The Boathouse, Tasik Ampang semalam.
Rata-rata peminat dan netizen yang mengikuti perkongsian gambar sepanjang majlis pernikahan pasangan itu memuji Sweet kerana tampil berhijab pada hari bahagianya.
“Bagus Sweet, nikah pakai tudung. Cantik,” komen seorang netizen dalam ruangan komen sebuah video TikTok di sebalik tabir persiapan Sweet sebelum berlangsungnya majlis akad nikah yang dimuat naik majalah EH!
Netizen lain turut memuji keputusan pelakon berusia 25 tahun itu yang memilih memakai tudung kerana menghormati majlis akad nikah.
“Manis je dia. Meskipun dia tak pakai tudung tapi tetap pilih memakai tudung sewaktu berkahwin,” kata seorang lagi netizen.
Perkongsian video tersebut yang mendapat lebih 118,000 tanda suka turut dibanjiri dengan komen positif ramai kerana keperibadian pelakon itu yang sangat pandai menjaga diri sehingga tidak pernah terpalit kontroversi.
“Antara artis yang tak banyak gosip negatif, pandai bawa diri dan merendah diri. Tahniah pasangan pengantin,” ujar netizen lain.
Malah pemilihan dres putih kembang rekaan Amaze dan gaya tudung ringkas yang digayakan pelakon dengan nama sebenar Farhanna Qistina Supandi itu turut dipuji ramai.
Biarpun bersederhana tetapi solekan, pakaian dan gaya dikenakannya masih menyerlahkan aura jelita pengantin pada Sweet.
Semalam, Sweet dan Adam yang merupakan bbintang utama drama Bidadari Salju pada 2020 selamat disatukan sebagai suami isteri dengan hanya sekali lafaz.
Dalam majlis tersebut, Sweet dinikahkan sendiri oleh abang kandungnya, Fahed Ashraf Supandi sambil disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan merangkap Imam Satu Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor, Ustaz Mohamad Khairi Hussein.
Lebih manis, majlis pernikahan pasangan itu turut memberi makna bahagia berganda buat Sweet yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-25 semalam.
Dia juga menerima mas kahwin berjumlah RM2410.97 yang merupakan simbolik tarikh hari lahirnya.
Pasangan serasi itu mula menjalinkan hubungan cinta sejak 2018 sebelum mengikat tali pertunangan pada 24 Oktober tahun lalu, juga pada sambutan ulang tahun kelahiran Sweet yang ke-24. – KOSMO! ONLINE