POTSDAM, JERMAN – Dua aktivis perubahan iklim melempar kentang putar ke arah lukisan Les Meules karya pelukis terkenal Perancis, Claude Monet sebelum ‘melekatkan’ diri mereka pada lantai muzium, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Aktivis daripada kumpulan dikenali sebagai Letzte Generation (Generasi Terakhir) itu memasuki Muzium Barberini di Potsdam petang kelmarin dengan memakai jaket keselamatan.
Rakaman video menunjukkan mereka melempar kentang putar pada karya seni yang dilaporkan berharga £96 juta (RM514 juta) itu.
Mereka melempar dua mangkuk kentang putar cair ke arahnya sebelum melekat tangan pada lantai.
Tidak dijelaskan sama ada karya tersebut rosak atau ia sebenarnya terlindung oleh kaca keselamatan.
Ketika berkongsikan video tersebut dalam akaun Twitter Letzte Generation, seorang jurucakap kumpulan itu berkata: “Kami menjadikan lukisan Monet ini sebagai pentas dan orang ramai sebagai penonton.”
“Jika perlu menggunakan lukisan yang dilempar dengan #MashedPotatoes (kentang putar) atau #TomatoSoup (sup tomato) untuk mengingatkan masyarakat bahawa bahan api fosil boleh membunuh kita semua, kini kami mempersembahkan #MashedPotatoes pada lukisan!” demikian maksud ciapan tersebut.
Insiden terbaharu itu berlaku selepas satu lagi kejadian serupa di mana dua aktivis kumpulan Just Stop Oil melempar sup tomato ke arah lukisan karya artis seni Belanda, Vincent Van Gogh di Galeri Nasional, 14 Oktober lalu.
Aktivis-aktivis tersebut memasuki galeri di London itu dan melempar makanan tersebut ke arah lukisan ikonik bertajuk Sunflowers dan melekat diri mereka pada dinding sebagai protes. – Agensi