LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta yakin keputusan menyakitkan ketika seri 1-1 dengan Southampton, kelmarin memberikan pengajaran berguna buat anak buahnya untuk terus menguasai carta Liga Perdana Inggeris.
Walaupun berjaya memulakan aksi dengan baik apabila mendahului permainan menerusi Granit Xhaka, Arteta merasakan The Gunners perlu belajar ‘membunuh’ perlawanan lebih cepat terutama dalam tempoh 45 minit pertama, namun dihimpit kekecewaan termasuk kegagalan Gabriel Jesus menyempurnakan peluang terbaik.
“Saya cukup kecewa kerana kami gagal meletakkan bola dalam gawang lawan. Dalam Liga Perdana Inggeris, satu gol nyata belum cukup kerana kami memiliki tiga atau empat peluang terbaik.
“Kami perlukan dua atau tiga lagi gol dan jelas ini jadi pengajaran berguna buat kami sekiranya mahu terus menguasai kedudukan,” katanya.
Sebaik memasuki babak kedua, Southampton akhirnya memperoleh jaringan penting untuk menyamakan kedudukan menerusi Stuart Armstrong.
Arteta juga menjelaskan beliau cukup faham dengan kekecewaan yang menghimpit Jesus, malah penyerang dari Brazil itu akui prestasinya tidak mampu memenuhi harapan diletakkan di bahunya.
“Apabila berjaya menjaringkan gol pertama, kami bermain dengan cara sendiri dan mencipta peluang, malah Jesus juga ada beberapa peluang terbaik.
“Saya fikir kami perlu tingkatkan lagi tahap permainan sama ada secara berpasukan mahupun individu. Kami pulang dengan kekecewaan kerana cara kami bermain dan sepatutnya mampu menambah jaringan untuk memenangi perlawanan,” jelasnya. – AGENSI