SACRAMENTO, CALIFORNIA – Hakim sebuah mahkamah di California membuat keputusan memihak kepada seorang pemilik kedai kek yang enggan membuat kek perkahwinan untuk pasangan pengantin lesbian kerana ia bertentangan dengan kepercayaannya sebagai penganut Kristian, lapor stesen televisyen 11 News semalam.
Jabatan Perumahan dan Pekerjaan Adil Negeri California menyaman kedai Tastries Bakery di Bakersfield. Agensi itu mendakwa pemiliknya, Cathy Miller mengamalkan diskriminasi terhadap pasangan sejenis itu sekali gus melanggar Akta Hak Sivil Unruh California.
Peguam Miller menjawab tuduhan tersebut dengan berhujah bahawa anak guamnya mempunyai hak untuk mengamalkan kebebasan bersuara. Menurutnya, kebebasan mengamalkan ajaran agama mengatasi hujah dia melanggar undang-undang anti diskriminasi.
Hakim Mahkamah Tinggi, Eric Bradshaw pada Jumaat lalu, membuat keputusan bahawa Miller bertindak secara wajar untuk menegakkan kepercayaan agamanya berhubung perkahwinan sesama jenis.
“Saya berharap agar masyarakat boleh berkembang bersama dan kita perlu memahami bahawa kita tidak seharusnya menolak sebarang agenda terhadap orang lain,” kata Miller.
Sementara itu, pasangan lesbian tersebut, Eileen dan Mireya Rodriguez-Del Rio berkata, mereka akan membuat rayuan.
“Sudah pasti kami kecewa, namun tidak terkejut (dengan keputusan mahkamah). Kami menjangkakan bahawa rayuan kami akan membawa keputusan berbeza,” kata mereka.
Pada 2017, Miller dilaporkan enggan membuat kek perkahwinan untuk Eileen dan Mireya kerana perkahwinan sejenis adalah bertentangan dengan kepercayaan agamanya, lantas menolak permintaan pasangan tersebut.
Dia dikatakan menolak secara baik dan mencadangkan nama kedai kek lain untuk pasangan tersebut.
Kedua-dua mereka yang tidak berpuas hati kemudian menyaman Miller dengan mendakwa menjadi mangsa diskriminasi. – Agensi