fbpx

Keletihan punca Zii Jia tewas di Denmark

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA gagal merangkul gelaran ketiganya musim ini selepas tewas pada perlawanan akhir di Terbuka Denmark kelmarin. – AFP

PERSEORANGAN lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia tidak terlalu kecewa meskipun gagal untuk meraih gelaran ketiga musim ini selepas tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, dia yang meraih gelaran di Kejuaraan Asia Mei lalu terpaksa akur dengan kekalahan tiga set 18-21, 21-16, 12-21 kepada pemain China, Shi Yuqi dalam tempoh lebih sejam.

Meskipun tewas, namun Zii Jia, 24, sudah menunjukkan pe­ningkatan dari segi prestasi sejak tersingkir di pusingan pertama pada kejohanan Terbuka Jepun yang berlangsung di Osaka awal September lalu.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui akur de­ngan kekalahan tersebut dan mendedahkan agak keletihan pada set ketiga sehingga membenarkan Yuqi mengambil kesempatan untuk mengutip mata demi mata.

“Untuk perlawanan hari ini (kelmarin), saya sudah berikan yang terbaik dengan mengeluarkan segala-galanya. Keputusan ini saya perlu terima dan fokus pada kejohanan akan datang.

“Pada set ketiga, saya sebenarnya sudah agak letih, bagaimanapun saya anggap keputusan ini sebagai pengalaman dan pengajaran untuk berdepan situasi seperti ini dalam perlawanan lain,” kata pemain yang berada pada ranking ketiga dunia itu.

Dalam pada itu, Zii Jia yang juga bekas pemenang kejohanan Seluruh England (All England) memberitahu, Yuqi mula fokus sebaik sahaja set ketiga bermula dan terus menjarakkan kedudukan selepas mata ke-11.

“Detik penentuan perlawanan adalah pada set ketiga apabila dia sudah mula berikan fokus. Kita tengok apabila dia mendapat mata ke-11, Yuqi mula kutip mata demi mata sebelum menang,” ujarnya.

Zii Jia percaya corak permai­nannya semakin meningkat dan dia tekad untuk mengekalkan aksi seperti itu menjelang kejohanan Terbuka Perancis yang bermula hari ini serta Terbuka Hylo awal bulan depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI