PETALING JAYA – Susulan menerima komen positif peminat sehingga ada yang mendoakannya istiqamah berniqab, pelakon Sherry Ibrahim tampil menjelaskan kekeliruan ramai.
Jelas pemilik nama sebenar Syarizad Ibrahim, 39, itu, dia tidak berniqab seperti sangkaan sesetengah pihak tetapi hanya mengenakan imej tersebut ketika menghadiri majlis ilmu anjuran Neelofa baru-baru ini.
Malah pelakon drama Teduhan Kasih itu juga berkata, dia memilih hadir dengan imej sebegitu kerana pilihannya sendiri atas sebab tertentu.
“Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat serta manis untuk saya. Saya tidak berniqab. Hanya berniqab pada majlis ilmu hari itu atas sebab tertentu dan pilihan saya sendiri.
“Apapun, terima kasih kerana menjadi positif tentangnya. Semoga kita semua berada dalam keadaan yang baik-baik dan sentiasa beristiqamah,” tulisnya dalam satu hantaran InstaStory.
Terdahulu pada minggu lalu, penampilan pelakon itu yang tampil mengenakan jubah bersama niqab sedondon berwarna putih menarik perhatian peminat.
Dia yang sempat bergambar bersama Neelofa dipuji sangat cantik seperti bidadari kerana menggayakan imej berniqab.
Malah ramai antara peminatnya mendoakan agar pelakon itu agar istiqamah dengan imej tersebut.
Selain Sherry, majlis tersebut turut dihadiri ramai lagi selebriti wanita popular lain antaranya Bella Astillah, Farah Nabilah, Wawa Zainal, Kaka Azraff, Mawar Rashid, Zulin Aziz dan Puteri Sarah Liyana. – KOSMO! ONLINE