fbpx

K2

Konsert mega himpun alumni, pelajar MRSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALUMNI MRSM membuat persiapan akhir menjelang konsert MRSM Musicfest 2022 yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

BUAT julung kalinya, Alumni Anak Sains Mara (Ansara), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bakal menganjurkan sebuah konsert berskala mega pada 29 Oktober ini.

Konsert dikenali sebagai MRSM Musicfest (MMF) 2022 itu akan menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung dan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Penerbit MMF, Mohamad Fadzil Shari berkata, konsert berskala besar tersebut bakal menjadi platform pertemuan alumni dan pelajar yang masih menuntut di institusi pendidikan terkenal itu.

Jelasnya, perancangan mengadakan konsert MMF bukan sesuatu yang mudah, tetapi tidak mustahil untuk direalisasikan.

“Kalau bercakap bab perancangan, memang sudah lama kami merancang untuk mengadakan konsert melibatkan alumni MRSM ini.

“Sudah beberapa kali kami duduk bersama untuk berbincang dan bertukar idea untuk mengadakan konsert ini. Akhirnya, pada April lalu, kami mengambil keputusan untuk menjayakannya buat kali pertama.

“Apa yang menarik, MMF bukan konsert untuk berhibur semata-mata, tetapi turut melibatkan pelbagai aktiviti lain pada hari sama,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambah Mohamad Fadzil, pihaknya telah merancang pelbagai aktiviti menarik pada konsert tersebut termasuk larian santai, pertandingan nyanyian, tarian, bermain alat muzik serta ekspo jualan.

Katanya, semua aktiviti tersebut dijayakan sendiri alumni MRSM dari seluruh negara yang turut bertindak sebagai ahli jawatankuasa pelaksana MFF.

“Seawal pukul 7 pagi, kami akan memulakan acara dengan aktiviti larian santai di sekitar Stadium Bukit Jalil dan Axiata Arena. Aktiviti larian santai ini terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada alumni serta pelajar MRSM sahaja.

“Pada masa sama, lebih 300 peniaga yang terdiri daripada alumni MRSM terlibat menjayakan ekspo jualan. Mereka ini menjual makanan, minuman, pakaian dan lain-lain.

“Pada malam acara kemuncak, kami akan mengadakan sebuah konsert istimewa melibatkan barisan alumni MRSM. Konsert ini melibatkan lebih 20 buah lagu. Menariknya, ada beberapa alumni yang bergelar CEO (ketua pegawai eksekutif) syarikat-syarikat besar turut akan membuat persembahan pada MFF.

“Bukan senang hendak mendengar mereka ini (CEO) menyanyi secara langsung. Sebelum MFF melabuhkan tirai, para penonton berpeluang menyaksikan persembahan sketsa muzikal oleh warga MRSM dari seluruh negara,” tuturnya.

BAHANG penganjuran konsert mega tersebut semakin dirasakan dan persiapan rancak dilakukan oleh para peserta yang terlibat.

Tambahnya, para penonton yang hadir pada hari tersebut turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa dua buah motosikal tajaan Yamaha.

Mengulas mengenai persiapan MFF, Mohamad Fadzil berkata, persiapan sudah pun melepasi 90 peratus dan bermula esok, raptai penuh akan diadakan.

“Dari segi jualan tiket pula, setakat ini, lebih 70 peratus daripada 5,000 tiket yang kita sasarkan sudah pun habis terjual sejak dilancarkan pada penghujung September lalu.

“Kami menjemput semua anggota masyarakat ke konsert ini, tidak kira anda bekas pelajar MRSM atau tidak.

“Insya-Allah, jika mendapat sambutan menggalakkan terutama dari segi tajaan, kami akan menjadikan MFF sebagai acara tahunan atau dwitahunan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah MRSM Kolej Mara & Kolej Profesional Mara Got Talent, Sazlina Soyat berkata, MFF edisi sulung itu turut menyaksikan pelbagai pertandingan menarik akan dianjurkan khusus buat pelajar dan warga MRSM.

Ujar Sazlina yang juga bekas pelajar MRSM Langkawi, Kedah, MRSM Got Talent merupakan salah satu pertandingan yang mendapat sambutan hebat dalam kalangan pelajar sejak penyertaannya dibuka.

“Selepas pendaftaran pertandingan ini dibuka, kami mendapat lebih 200 penyertaan pelajar MRSM di seluruh negara. Uji bakat Got Talent ini melibatkan tiga kategori iaitu nyanyian, tarian dan alat muzik tetapi hanya 31 penyertaan yang akan dipilih ke peringkat akhir.

“Seawal pukul 10 pagi, penonton berpeluang melihat 31 peserta ini membuat persembahan dan menonjolkan bakat mereka.

“Pemenang acara berkenaan bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000,” ujarnya sambil memberitahu, para peserta diadili oleh artis jemputan berpengalaman.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket konsert MFF boleh melayari laman web www.myansara.org atau www.ticket2u.com.my dan secara walk in pada 29 Oktober.
Tiket dijual pada harga RM60 bagi mereka berumur 18 tahun ke atas, RM30 (10 hingga 17 tahun) dan masuk percuma bagi kanak-kanak di bawah 10 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI