TUMPAT – Seorang penyeludup cabut lari meningggalkan kereta dipandunya yang sarat dengan muatan minyak masak peket seberat 1,020 kilogram selepas dikejar kenderaan anggota penguat kuasa di Jalan Hulu Stesen Kereta Api Wakaf Bharu di sini semalam.
Kereta jenis Proton Wira Aeroback itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semasa anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Unit Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menjalankan rondaan.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Azman Ismail berkata, sebaik sahaja menerima maklumat, anggota penguat kuasa bertindak mengekori pergerakan kereta yang dipandu suspek selepas ia dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, kereta tersebut dipandu suspek dari arah Pasir Pekan menghala ke Wakaf Bharu di sini
“Menyedari kereta yang dipandunya diekori kenderaan penguat kuasa, suspek terus memecut laju menghala ke Jalan Hulu Stesen Kereta Api Wakaf Bharu.
“Suspek bagaimanapun meninggalkan kereta tersebut sebelum melarikan diri ke kawasan semak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azman, pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu telah menemui 60 kotak mengandungi 1,020 kilogram minyak masak peket.
Katanya, siasatan mendapati, kesemua minyak masak itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE