PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga atas pemergian ibunya, Datin Mariah Khamis, hari ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan di Facebook berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ibu mentuanya meninggal dunia awal pagi tadi.
Susulan itu, Anwar juga mengumumkan pembatalan jelajah politik ke Miri dan Kuching, Sarawak yang dijadualkan hari ini. – KOSMO! ONLINE