fbpx

Antara mangsa Covid-19, PKP dan kaki scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
JAMDI NASIR, TIMBALAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

AGAK skeptikal bagi saya untuk mengulas topik berkisarkan Covid-19 pada penulisan hari ini memandangkan kita semua telah berhadapan dengan isu sama sejak beberapa bulan lalu.

Jika diambil kira tarikh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, maka pada 18 Oktober ini genap tujuh bulan kita berhadapan dengan sekatan itu.

Sekatan norma baharu yang tidak pernah terfikir di akal akibat virus yang didakwa berasal dari Wuhan, China itu kini membelenggu lebih 36 juta penduduk di 216 negara, wilayah atau jajahan di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu 1.05 juta orang telah terkorban, 7.8 juta lagi berstatus pesakit aktif, kira-kira 68,000 dalam keadaan kritikal, manakala 27 juta telah sembuh.

Saya tidak berniat mengulas panjang mengenai wabak Covid-19, sebaliknya ingin membawa mengenai tiga kisah masyarakat di sebalik penularan virus misteri tersebut.

Kisah pertama, ialah mengenai mangsa wabak yang terpaksa bertarung dengan maut ketika dirawat di hospital selepas disahkan positif Covid-19.

Mereka yang kritikal bukan sahaja berhadapan dengan masalah untuk bernafas sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan, malah mereka langsung tidak dibenarkan menemui seorang pun ahli keluarga.

Bayangkanlah andai kita di tempat mereka. Jika meninggal dunia, maka berseoranganlah kita dari bilik mayat sehingga ke liang lahad. Tiada rakan dan saudara-mara dibenarkan mengiringi jenazah ke perkuburan.

Kisah kedua, ada pasangan suami isteri yang mempunyai seorang anak berusia tujuh bulan dan mengidap penyakit jantung berlubang.

Seperti jatuh ditimpa tangga, ketika berhadapan dengan kesukaran untuk membiayai kos perubatan, si bapa pula dibuang kerja ekoran PKP kerana syarikat terpaksa mengurangkan kakitangan.

Begitulah kita hari ini, sebahagian tidak bernasib baik terkena jangkitan wabak Covid-19, sebahagian besar lagi tidaklah boleh dianggap bertuah kerana nasib mereka juga sama apabila terkesan dengan kejatuhan ekonomi, kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

Namun, kisah ketiga agak berbeza. Mereka masih mampu bersuka ria dan langsung tidak mempeduli masalah yang membelenggu masyarakat di sekeliling.

Mereka adalah anggota sindiket Macau Scam yang saban waktu berfikir cara untuk menipu insan-insan lemah khususnya wanita, pesara dan warga emas.

Wang yang dikumpul berpuluh tahun sebagai bekalan untuk hidup selesa pada hari tua atau ketika saat memerlukan hilang dan lesap begitu sahaja apabila panik menerima panggilan kononnya terlibat dengan jenayah, kad pengenalan digunakan bagi pemalsuan pinjaman dan sebagainya lagi.

Sindiket ini difahamkan mempunyai ‘sekolah’ khas bagi melatih pekerja bagaimana cara untuk menipu selain memanfaatkan teknologi yang ada.

Begitulah tiga kisah yang berlegar antara kita hari ini, masih lagi berlaku dan akan terus berlaku. Ada yang jadi mangsa. Ada yang jadi pemangsa. Bila tamatnya? Tidak akan sesekali selesai. Apa yang penting kita tidak boleh alpa dengan bahaya yang menanti di hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI