KUALA NERUS – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) masing-masing dinobatkan johan kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Debat Diraja Antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) hari ini.
Selaku johan, setiap pasukan IPT berkenaan menggondol wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Pasukan UIAM yang memenangi debat bahasa Melayu dibarisi oleh Nur Syahirah Balqis Shahrulnizam, 20; Muhamad Ilham Hafiz Azmi, 22; Muhammad Luqman Ismail Zawawi, 22; dan Muhammad ‘Aqil Mujahid Mukhtar, 21.
Pemenang debat bahasa Inggeris iaitu UM pula terdiri daripada R. Kuhan Karttikeyn, 21; A. Danesh Ram, 24; Muhyuddin Ahsan Sultan Askin, 20; dan Catherine Alicia Nathan, 22.
Naib johan pula diraih oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi kategori bahasa Melayu manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula bagi kategori bahasa Inggeris.
Kedua-dua IPT masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan hadiah pemenang pertandangan Debat Diraja Antara IPT berkenaan yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.
Sebanyak 53 pasukan dari 24 IPT di seluruh negara menyertai pertandingan debat tersebut yang diadakan secara dalam talian bagi pusingan awal sebelum secara bersemuka bagi pusingan separuh akhir dan akhir.
Pertandingan yang mula diperkenalkan pada tahun 1995 dengan format debat ala parlimen tersebut merupakan medan untuk membudayakan amalan berfikir secara kritis dan analitikal dalam kalangan mahasiswa tempatan. – KOSMO! ONLINE