IPOH – Sambutan Deepavali yang bakal diraikan esok pastinya lebih ceria buat 150 keluarga kurang berkemampuan atau B40 apabila menerima bantuan barangan keperluan harian.
Sumbangan tersebut disampaikan Kedai Emas Siti Aishah Sdn. Bhd. menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan memerlukan.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Anuar Ibrahim berkata, sumbangan berupa beras, gula, tepung dan minyak itu diharap dapat meringankan beban kumpulan sasaran.
Katanya, program seumpama itu adalah kesinambungan bantuan pihaknya sejak pandemik Covid-19 melanda negara dan memberi kesan kepada rakyat.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, kita mendapati ramai orang yang terkesan dan atas sebab itu kita mengambil inisiatif menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.
“Sehingga kini, kira-kira 1,000 beg makanan disumbangkan bukan sahaja kepada golongan B40, malah sekolah, surau dan petugas barisan hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan beg makanan di sini hari ini.
Mengulas bantuan yang disampaikan, beliau berkata, kesemua penerima dalam kalangan komuniti India itu dikenal pasti oleh ketua persatuan perumahan masing-masing.
“Sumbangan seperti ini akan diteruskan dengan memfokuskan kepada musim perayaan. Kita mahu bantu orang susah dengan memberikan sumbangan supaya mereka dapat meraikan perayaan sama seperti orang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE