KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) Kelantan akan mengumumkan senarai nama calon yang akan bertanding di kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 3 November depan.
Pengarah Pilihan Raya PN Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, serentak dengan itu, pihaknya akan melancarkan jentera pilihan raya pada hari tersebut.
Menurutnya, PN menyediakan sebanyak 544 bilik gerakan di Unit Daerah Mengundi (UDM) seluruh negeri ini dengan kekuatan seramai 27,200 orang jentera pilihan raya.
“Jentera pilihan raya ini akan diselaraskan bagi setiap bilik gerakan. Secara ringkasnya,seramai 50 orang jentera bagi setiap UDM dan itu merupakan jumlah minimum.
“PN terutamanya Pas kekal menggunakan pendekatan bersemuka untuk mendekati pengundi-pengundi di negeri ini meskipun mempunyai kemudahan melalui media sosial pada masa kini,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Bilik Media PN di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan di sini hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Condong itu berkata, pendekatan secara bersemuka itu akan lebih mendekatkan parti dengan rakyat selain membolehkan pihaknya mendapat maklum balas secara langsung daripada pengundi-pengundi di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pelancaran Bilik Media PN merupakan salah satu persediaan PRU15 untuk membolehkan parti sentiasa bersama wartawan dengan pendekatan Mesra Pemberita.
“Insya-Allah, kita akan berusaha mengadakan sidang media pada pukul 11 pagi setiap hari bermula selepas tarikh penamaan.
“Bilik ini adalah untuk kemudahan semua pengamal media termasuk bilik istirehat, makan minum dam ruang solat. Kita cuba untuk bersama media pada setiap masa dan melaporkan berita dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE