KUALA LUMPUR – Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) menerima pengajaran berharga selepas akur dengan status naib juara apabila tewas 0-3 kepada wakil Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Ketua jurulatih skuad Warga Kota, Bojan Hodan mengakui kegagalan menyempurnakan beberapa peluang terhidang pada awal saingan selain kesilapan individu telah menghukum pasukan dalam usaha mencipta sejarah tersendiri.
Kata Hodak, saingan mungkin berbeza sekiranya barisan pemain dapat menyerap tekanan selain tidak terburu-buru dalam usaha melakukan serangan ke kubu pasukan lawan
“Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan bahawa mereka (Al Seeb) pasukan yang berkualiti dan jika pemain buat kesilapan, pasukan akan dihukum.
“Bagi mengharungi perlawanan seperti ini, anda perlu mempamerkan permainan yang sempurna tetapi ada ketika ia bergantung kepada nasib.
“Jika kami dapat jaringkan gol pertama (pada awal permainan), mungkin perlawanan akan berbeza.
“Namun, pasukan lawan yang hanya memiliki dua peluang terbaik dapat menjaringkan tiga gol kerana satu lagi menerusi sepakan penjuru yang sepatutnya boleh dielakka ,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Pada perlawanan tersebut, Al Seeb mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kelab Oman pertama menjuarai trofi Piala AFC hasil jaringan dilakukan oleh Ali Sulaiman Al Busaidi, Abdul Aziz dan Muhsen Saleh Al Ghassani.
KL City pula gagal mengulangi ‘magis’ yang dilakukan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi kelab Malaysia dan Asia Tenggara pertama menang Piala AFC pada edisi 2015. – KOSMO! ONLINE