fbpx

Konsert Naga Kramat bukti ‘X Factor’ Wings

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WINGS beraksi pada konsert di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – “Ini musim orang gila kuasa, kita hampir bernafas dalam lumpur”.

Itu antara kata-kata penuh makna disampaikan Datuk Awie atau nama lengkapnya, Ahmad Azhar Othman ketika pertengahan Konsert Naga Kramat yang berlangsung di pentas Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.

Biar kedengaran lucu hingga disambut derai tawa penonton, hakikatnya terselit sindiran halus untuk diambil peduli pihak berkaitan selain meminta orang ramai beringat menjelang musim Pilihanraya Umum Ke -15 (PRU15) ini.

Memilih Bernafas Dalam Lumpur, Opera Hidup, Romania dan Hukum Karma untuk set kedua, keempat-empat lirik seleksi lagu itu ‘kena’ dengan senario yang berlaku sekarang.

Terdahulu, kumpulan Wings memanaskan pentas bersama Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing daripada album ke-10, Naga Kramat yang diangkat sebagai nama konsert kali ini

Seperti dijanjikan, band rock otai tersebut menyempurnakan aksi terakhir di Kuala Lumpur sebelum berehat panjang hingga awal tahun depan dengan lebih 20 dendangan malar segar.

Antara pilihan lain Awang Thrasher, Peronda Jaket Biru, Harapan, Jerangkung Dalam Almari, Taman Rashidah Utama, Bujang Senang dan Ingatkan Dia.

Biar tahun ini menyaksikan Wings naik turun pentas gah, setiap kali muncul pasti tiket laris malah Konsert Naga Kramat menjadi bukti apabila Zepp yang boleh memuatkan 2,500 penonton padat dengan kehadiran Sayap Sayap Wings (kelab peminat).

Peminat yang kerap mengikuti persembahan ‘live’ band yang ditubuhkan sejak 1985 ini sejujurnya sudah dapat membayangkan repertoire persembahan.

Malah celoteh vokalis yang bakal menyambut ulang tahun ke-54 pada 24 November ini juga boleh dijangka, tetapi ada ‘X Factor’ yang membuatkan penonton tertunggu-tunggu kemunculan mereka.

Setiap kali mendominasi pentas seolah-olah Awie dan rakan-rakannya yang terdiri daripada Edrie (gitar), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar) punya magis yang membuatkan penonton rasa berbaloi membayar tiket.

Begitupun, ramai mengakui minat terhadap Wings bukan sekadar disebabkan lagu atau persembahan, malah cara menghargai peminat juga membuatkan mereka rasa dekat.

Pada masa sama, Konsert Naga Kramat anjuran MW Mega dan Awie Entertainment terus meletakkan Wings dalam kelas tersendiri, baik dari segi persembahan vokal, permainan muzik, penataan bunyi dan cahaya hingga ke seleksi lagu.

Sementara itu, dalam tempoh dua jam, kumpulan itu turut melayani peminat bersama Dalam Kehadiran Sofea, Opera Hidup, Lipas Kudung, Sekeping Kertas Berharga dan Gemuruh.

Malah mereka turut mengimbas nostalgia lalu mengidolakan band rock barat seperti Loudness dan Scorpions menerusi dendangan lagu Ares’ Lament, He’s a Women, She’s a Man serta Is There Anybody There. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI