KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang disyaki menangkap sotong secara haram di perairan negara semalam.
Kedua-dua bot yang sedang bertambat antara satu sama lain itu ditahan pada kedudukan kira-kira 44.5 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu pada pukul 4.30 petang.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Terengganu, Ariffin Ghazali berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua bot nelayan asing itu menemukan banyak sotong termasuk yang sedang dijemur untuk dijadikan sotong kering.
“Seramai 12 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 21 hingga 63 tahun yang merupakan kru dua bot tersebut juga berjaya ditahan.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya di sini hari ini.
Ariffin berkata, tekong kedua-dua bot Vietnam itu juga gagal membuktikan mereka memiliki permit kebenaran daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap hasil laut di perairan negara.
Tambah beliau, APMM bertindak menyita dua bot, peralatan menangkap ikan, minyak diesel dan hasil laut yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM1 juta.
“Kesemua aset yang dirampas tersebut telah ditunda ke Jeti Maritim Terengganu di sini. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959,” katanya. – KOSMO! ONLINE