fbpx

Peja tidak pertahan DUN Chenderiang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faizal bercakap selepas menghadiri program sambutan Deepavali di Little India, Ipoh semalam. - FOTO/ MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, meskipun tiada ketetapan diputuskan setakat ini, beliau secara peribadi ingin memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen Tambun selain memberi peluang kepada calon lain di DUN berkenaan.

“Itu (bertanding di DUN Chenderiang) belum kita putuskan lagi tetapi secara peribadi, saya ingin menumpukan perhatian kepada Parlimen Tambun.

“Bukan kerana Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahu bertanding di situ (Tambun) tetapi saya fikir eloklah beri peluang kepada pemimpin-pemimpin lain untuk ditonjolkan,” katanya ketika ditemui pada program Sambutan Deepavali bersama warga Little India di sini semalam.

Terdahulu, Anwar yang juga ketua pembangkang mengesahkan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 selepas mengumumkannya sendiri semasa Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di sini Khamis lalu.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, beliau mahu terus memberi perkhidmatan kepada rakyat dan sama sekali enggan berebut jawatan sebagai Menteri Besar.

“Saya mempunyai pengalaman sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), pernah menjadi Menteri Besar. Saya tidak mahu jadi macam parti-parti lain yang berebut mahu menjadi Menteri Besar.

“Saya tidak berebut sebaliknya saya mahu memberi perkhidmatan kepada orang ramai, itu yang saya cuba lakukan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Pakatan Harapan (PH) yang dilihat memberi lebih tumpuan kepada Perak pada pilihan raya kali ini, Ahmad Faizal berkata, Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah sebaliknya apabila memberi fokus di semua negeri di semenanjung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI