SEPANG – Pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli menebus kekecewaannya semalam selepas menoktahkan kemenangan pada perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) sebentar tadi.
Pelumba berusia 15 tahun tersebut terjatuh semalam ketika mendahului Perlumbaan 1, namun kesilapan tersebut berjaya diatasinya pada Perlumbaan 2 dengan memastikan lagu Negaraku berkumandang di tanah air.
Hakim Danish mengakui dia yang beraksi dalam kesakitan terpaksa melupakan seketika kecederaan tersebut kerana misinya adalah untuk menjulang kemenangan dihadapan kedua ibu bapanya.
“Pada perlumbaan tadi saya sangat teruja dan akhirnya saya berjaya raikan kemenangan perlumbaan di laman sendiri. Namun perlumbaan sebentar tadi sedikit mencabar kerana keadaan litar sangat licin.
“Jadi, saya juga perlu tenang kerana keadaan litar basah dan guna tayar hujan. Saya hampir terjatuh pada pusingan terakhir di selekoh 14 namun saya bernasib baik dan berjaya kawal jentera semula.
“Saya sangat gembira kerana memastikan lagu Negaraku dan bendera Malaysia dapat dikibarkan di Sepang kerana itulah misi saya pada minggu ini,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlumbaan.
Hasil kemenangan tersebut, Hakim Danish kembali mendahului carta kedudukan ATC dengan kelebihan tiga mata selepas mengumpul 151 mata keseluruhan.
Pelumba Jepun, Shinya Ezawa yang menamatkan saingan di tempat ketiga di Sepang mengekori rapat Hakim Danish dengan mengumpul 148 mata.
Gun Mie kini berada di tangga ketiga keseluruhan selepas mengumpul 116 mata selepas sekadar menamatkan tempat kelima.
Selepas Sepang, Hakim akan berlepas ke Mandalika, Indonesia untuk memburu kemenangan dengan misi menjulang gelaran ATC 2022 pada 11 November depan. – KOSMO! ONLINE