GUA MUSANG – Seorang polis bantuan maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres semasa memotong beberapa buah kenderaan di kilometer 33, Gua Musang-Kuala Krai di sini awal pagi tadi.
Nahas pada pukul 1 pagi itu mengorbankan Mohammad Hafizul Shazali, 20, yang memandu kereta jenis Proton Persona selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat tersepit di dalam kereta tersebut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Felda Chiku 2 di sini sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang ke Kuala Krai.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai memotong beberapa buah kenderaan, namun hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
“Insiden itu menyebabkan kereta dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan arah ke Kuala Krai sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu bas yang sedang dalam perjalanan dari Rantau Panjang menghala ke Nilai, Negeri Sembilan itu berusia 43 tahun dan 31 orang penumpang lain tidak sebarang mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Choon Foo, mayat mangsa dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE