fbpx

Lelaki bunuh, kerat teman wanita sebelum buang mayat dalam tandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROBLEDO ditahan dalam keadaan berlumuran darah selepas membunuh Vargas. - CEN

BANDAR RAYA MEXICO – Seorang lelaki di Mexico dijatuhi hukuman penjara 70 tahun kerana membunuh teman wanitanya sebelum membuang cebisan mayat mangsa yang dikerat ke dalam tandas, lapor akhbar Mirror UK semalam.

Hukuman itu dijatuhkan ketika Mexico mula melaksanakan undang-undang lebih keras bagi membanteras jenayah pembunuhan ke atas wanita.

Erik Francisco Robledo, 46, dijatuhi hukuman itu oleh seorang hakim di Penjara Lelaki Oriente selepas didapati bersalah membunuh Ingrid Escamilla Vargas, 25, pada 9 Februari 2020.

Robledo memberitahu polis bahawa dia membunuh teman wanitanya sebelum memotong dan mengepam cebisan mayat mangsa ke dalam tandas.

Menurut laporan, jiran tertuduh menghubungi Setiausaha Keselamatan Rakyat (SSC) apabila melihat lelaki itu keluar dari bangunan tempat tinggalnya dalam keadaan berlumuran darah.

Menerusi satu rakaman semasa penahanannya, Robledo dimasukkan ke dalam sebuah kereta dengan kepala yang berbalut dan dada yang berdarah sambil bercakap dengan seorang anggota polis.

“Kami mula bertengkar dan bergaduh. Dia berkata mahu membunuh saya dan saya menyuruh dia melakukannya.

“Dia (Vargas) mengambil pisau dan menikam saya. Saya menyuruh dia menikam lebih kuat dan dia melakukannya dua kali lagi.

“Saya menggunakan pisau yang sama untuk menikam kerongkongnya. Saya membuang bahagian mayatnya ke dalam sistem saliran kerana berasa malu,” kata Robledo dalam rakaman itu.

Robledo ditangkap sejurus selepas pembunuhan itu, tetapi perbicaraan mahkamah ditangguhkan sehingga dua tahun kemudian. Proses mahkamah berlangsung lebih 26 perbicaraan dan akhirnya berakhir kelmarin.

Robledo didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 70 tahun iaitu tempoh maksimum yang boleh ditetapkan kepada seseorang penjenayah di Mexico. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI