fbpx

Polisi tidak boleh sewa dan jual rumah PPR – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI (tiga dari kiri) menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera di Rejimen Ke-34 Artileri Diraja Kem Bera di Bera hari ini.

Polisi tidak boleh sewa dan jual rumah PPR – PM

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri menetapkan polisi agar pembeli rumah projek perumahan rakyat (PPR) tidak boleh menyewakan rumah mereka.

Beliau berkata, selain itu rumah mampu milik yang dibeli itu juga tidak boleh dijual kepada orang lain bagi memastikan hanya inidvidu yang layak dan memerlukan memiliki rumah berkenaan.

“Saya bagi tahu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican dan wakil Menteri Besar supaya jadikan polisi pembeli rumah tidak boleh menyewakannya dan kalau beli jangan berniaga rumah pula.

“Dulu saya tahu di bawah program generasi kedua Felda tujuan kita membina rumah adalah untuk generasi kedua supaya tidak tumpang rumah emak bapa lagi tetapi akhirya dia jual dan sewa kepada orang, dia buat pelaburan rumah itu,”katanya ketika berucap pada majlis perasmian pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera di Rejimen Ke-34 Artileri Diraja Kem Bera di sini hari ini.

Pembangunan PPR Bera dengan peruntukan sebanyak RM234 juta melibatkan pembinaan 1,000 unit rumah di kawasan tanah seluas 36 hektar di Bandar 34 di sini.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan menyedari Keluarga Malaysia berhak memiliki rumah kediaman sebagai keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru katanya, kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

“Sebagai contoh dalam Bajet 2022, peruntukan sebanyak RM815.4 juta telah disediakan untuk program-program perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

“Agenda berkenaan bukan sahaja sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) 2030 tetapi juga bertepatan dengan matlamat Keluarga Malaysia yang memastikan tiada siapa yang terpinggir daripada kemajuan negara,”katanya.

Sementara itu beliau berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu berjumlah RM372.3 bilion, yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara menyaksikan kerajaan telah menyediakan Skim Perumahan yang ditawarkan melalui KPKT.

Katanya, ia merangkumi Program Perumahan Rakyat atau lebih dikenali sebagai PPR yang memberikan manfaat kepada 12,400 penghuni baharu dengan peruntukan sebanyak RM367 juta.

Selain itu katanya kerajaan juga merancang Program Rumah Mesra Rakyat melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta.

“Ketiga adalah Program Penyelenggaraan Perumahan dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia bagi memastikan keadaan perumahan strata kos rendah dan sederhana yang selamat termasuk menggantikan lif-lif yang rosak dengan peruntukan sebanyak RM90.4 juta.

“Dan keempat ialah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di mana Kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM3 bilion kepada bank bagi memberi akses pembiayaan kepada golongan yang tiada berpendapatan tetap seperti pekerja e-hailing untuk memiliki rumah,”katanya.

Ujarnya, bagi meringankan beban pembeli rumah kali pertama, kerajaan turut bermurah hati melaksanakan pengecualian duti setem 100 peratus yang diumumkan sebelum ini bagi memorandum pemindahan membabitkan kediaman berharga RM500,000 dan ke bawah sehingga akhir 2025. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI