PETALING JAYA – Usaha Majlis Pemulihan Negara (MPN) membantu kerajaan dalam mencapai pemulihan ekonomi negara dengan membabitkan keselamatan sosial dan kebajikan golongan rentan diterima baik oleh golongan berkenaan.
Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial yang berlangsung pada 13 Oktober lalu membentangkan 12 kertas kerja penyelidikan merangkumi isu-isu penting antaranya kemiskinan situasi, pendidikan kumpulan B40, aspek perancangan bandar lestari bagi kumpulan B40 dan keterangkuman wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak.
Ia turut membentangkan model perusahaan sosial bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), potensi ekonomi hijau, sekuriti makanan serta pemerkasaan sektor eko-pelancongan.
Seorang peniaga, Izzman Hafiz, 38, berkata, pandemik Covid-19 sememangnya memberi kesan yang amat ketara kepada pendapatannya.
Menurutnya, dia bukan sahaja tidak dapat menjana pendapatan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah wang simpanan habis digunakan untuk membayar sewa premis, bil utiliti serta gaji pekerja.
“Kehidupan memang banyak berubah selepas dilanda wabak. Pendapatan harian jatuh merudum, malah peniaga terpaksa menanggung kerugian bayaran sewa dan bil utiliti walaupun perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard PKP.
“Rentetan itu, banyak perubahan dari segi perbelanjaan perlu dibuat, malah saya terpaksa berhenti berniaga sementara dalam usaha menstabilkan kembali kehidupan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Justeru itu, Izzman memberitahu, usaha MPN membantu rakyat terkesan akibat Covid-19 dengan mencadangkan moratorium khas terutama bagi pengusaha PMKS amat dihargai dan wajar dilaksanakan.
“Diharapkan apa yang dicadangkan oleh MPN ini diutamakan oleh pihak kerajaan dalam usaha membantu peniaga bangkit semula.
“Sebuah sistem bersepadu wajar dibangunkan bagi memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh.
“Sebagai peniaga, sudah tentu saya berharap proses untuk mendapatkan pinjaman dipermudahkan dan tidak mengambil masa lama untuk disalurkan kepada PMKS yang terjejas,” ujarnya.
Berkongsi pandangan sama, jurugambar bebas, Wafi Ghazali, 29, memberitahu, pemberian moratorium khas kepada PKMS seperti yang dicadangkan MPN banyak membantu pengusaha PMKS.
“Kita tahu sewaktu fasa pandemik, ramai peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan, terutama yang bukan dalam sektor makanan. Dengan pemberian moratorium khas, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terjejas untuk meneruskan perniagaan masing-masing.
“Selain moratorium, bantuan yang diberikan sedikit sebanyak turut membuatkan pengusaha menarik nafas lega pada pasca pandemik Covid-19,” ujarnya.
Selain itu, Wafi turut bersetuju dengan cadangan yang diutarakan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan menstruktur semula sistem pangkalan data eKasih.
“Sistem itu wajar ditambah baik kerana kerap mengalami kegagalan dan ini menyukarkan proses penyaluran bantuan.
“Selain itu, pihak berwajib perlu lebih perlu peka dan giat mencari golongan memerlukan kerana bukan semua orang mempunyai akses untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Zuhairi Litan, 31, usaha MPN yang mencadangkan kerajaan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara serta menjaga kebajikan golongan rentan yang merupakan antara kumpulan paling terjejas akibat pandemik Covid-19 memberi kelegaan kepada golongan terbabit.
“Pandemik Covid-19 sememangnya memberi kesan signifikan kepada kehidupan seharian golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Walaupun menerima beberapa bentuk bantuan daripada kerajaan sewaktu PKP, kesan wabak Covid-19 masih dapat dirasai seisi keluarga dan ia mengambil masa untuk pulih semula.
“Saya menyambut baik usaha MPN mengetengahkan kepentingan sekuriti makanan terutama sekali untuk golongan yang memerlukan.
Selain itu, diharapkan tindakan segera dapat diambil oleh kerajaan termasuk menyediakan solusi jangka masa panjang,” katanya.
Zuhairi berkata, besar harapannya agar kerajaan mengambil serius isu kekurangan bekalan makanan, terutama melibatkan orang miskin dan asnaf.
“Harap kerajaan dapat kaji semula harga barangan makanan yang berada di pasaran ketika ini kerana kenaikan harga barang begitu ketara sekali khususnya barangan runcit.
“Rentetan itu, ramai golongan miskin sukar untuk mendapatkan makanan kerana tidak mampu, malah ada yang terpaksa berlapar,” ujarnya.