BANGKOK – Seorang pegawai polis di wilayah Nonthaburi, Thailand mengaku mencuri lebih 100 senjata api dari bilik simpanan senjata sebuah balai polis, lapor laman berita Thaiger semalam.
Pegawai berkenaan, Chaowalit Pumkajorn ditahan atas tuduhan mencuri selepas ditangkap di wilayah Nong Khai.
Menurut laman berita Thai PBS World, pegawai berkenaan dituduh menjual dan menggadaikan senjata api yang dicurinya dari bilik stor balai polis daerah Pak Kret sejak lima tahun lalu.
Chaowalit berkata, dia mengambil dua hingga tiga senjata api pada satu masa tetapi menipu dengan mengatakan bahawa senjata itu diedarkan kepada pegawai-pegawai polis di balai berkenaan.
Lelaki itu cuba melarikan diri ke Laos selepas siasatan dijalankan yang mengaitkan dia sebagai punca kehilangan senjata itu.
Menurut timbalan ketua polis Thailand, Surachate Hakparn, lelaki itu telah diterbangkan ke Bangkok untuk disoal siasat. Beliau berkata, kes itu harus dijadikan pengajaran kepada ketua-ketua balai polis lain yang perlu sentiasa memeriksa inventori senjata mereka.
Sebuah beg berisi 27 pucuk pistol dilaporkan diletakkan di hadapan balai polis tersebut dengan beberapa pegawai berkata, ia dipercayai sebahagian daripada senjata yang dicuri. Menurut mereka, pemiliknya pasti memulangkan senjata itu kerana bimbang akan didakwa. – Agensi