fbpx

K2

Masyarakat Bali kembali cari rezeki cara asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA penduduk di Bali menuai rumpai laut yang tumbuh meliar di kawasan pantainya.

MENJADI satu pemandangan biasa sebelum ini untuk melihat para pelancong dari seluruh dunia berjemur di kawasan pantai di Nusa Lembongan, Pulau Bali yang dilingkari Lautan Hindi.
Pulau Bali di Indonesia itu sering menjadi tumpuan pelancong kerana mempunyai pantai-pantai yang indah.

Namun semua itu telah berubah setelah pandemik Covid-19 melanda dunia dan pulau itu sunyi sepi. Keadaan ekonomi penduduk di situ juga terjejas setelah pelancong tidak lagi datang ke pulau tersebut.

Kini yang banyak kelihatan di pulau itu ialah penduduk-penduduk tempatan yang mengangkut bebanan sarat rumpai laut di kawasan pantai untuk dijual.

Penduduk tempatan kembali kepada cara sebelum ini untuk mencari sumber rezeki iaitu dengan mengusahakan perniagaan rumpai laut.

“Saya sedih kerana kehilangan pekerjaan dan sekarang perlu mulakannya semula dari awal,” kata Gede Darma Putra, 45, yang sebelum ini bekerja sebagai jurulatih selam skuba selain pemandu pelancong di pulau tersebut.

Seperti penduduk tempatan lain, Gede dan isterinya Kadek Kristiani kini akan pergi ke kawasan pantai setiap hari dan meranduk air untuk mengumpul rumpai laut yang tumbuh meliar.

Tidak hanya mencari rumpai yang tumbuh meliar, penduduk tempatan juga mengusahakan penanaman rumpai laut.

Bali lazimnya menerima kunjungan berjuta-juta pelancong setiap tahun dan banyak pantai menarik yang boleh dikunjungi termasuk Nusa Lembongan.

Tetapi setelah rancangan untuk membuka semula pulau tersebut kepada pelancong asing terpaksa ditangguhkan ekoran peningkatan Covid-19 di Indonesia, banyak destinasi pelancongan, restoran dan bar yang terpaksa ditutup di pulau tersebut. Kini kerja-kerja mengeringkan rumpai laut dilihat kembali memenuhi tepi-tepi jalan yang dilakukan oleh penduduk tempatan yang kehilangan kerja dalam sektor pelancongan.

SEORANG lelaki kelihatan meranduk air untuk mengumpulkan rumpai laut yang kini menjadi antara sumber rezeki utama di Bali.

Industri rumpai laut begitu gemilang di Bali pada masa lampau sehinggalah beberapa dekad lalu mencatatkan kemerosotan apabila sektor pelancongan begitu pesat. Rata-rata penduduknya memilih mencari rezeki dalam sektor pelancongan.

Begitupun, Indonesia masih merupakan pengeluar rumpai laut kedua terbesar di dunia di belakang China.

“Petani kini mula menanam kembali rumpai laut,” kata Boedi Sarkana Julianto dari Jaringan Sumber Asli Indonesia (Jasuda yang merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan berkaitan pertanian rumpai laut.

Bagi Kadek, 34, dia pada mulanya berasa bingung dan tertanya-tanya apa yang harus lakukan untuk menjana pendapatan.

“Tetapi sepanjang tempoh sukar ini saya teringat kerja ini iaitu menanam dan menuai rumpai laut.

“Pendapatan yang diperoleh daripadanya membolehkan saya membeli makanan dan keperluan lain untuk anak-anak,” katanya.

Sementara itu, seorang pengurus restoran, Wali Putra, 50, yang pernah menanam rumpai laut dalam hayatnya berkata, pendemik ini mengingatkan dirinya semasa kehidupan kanak-kanak.

“Sebelum ledakan pelancongan di pulau ini, apa yang memberi ‘nyawa’ kepada masyarakat Nusa Lembongan adalah rumpai laut,” katanya.

Tetapi tuturnya, perusahaan rumpai laut bukan suatu kerja mudah dan tidak memberikan pulangan yang hebat berbanding sektor pelancongan.

Pandemik Covid-19 yang masih belum pulih juga menyebabkan permintaan terhadap rumpai laut tidaklah begitu tinggi.

Kebiasaannya, rumpai laut yang sudah dikeringkan dan dieksport untuk industri makanan hanya memberi pulangan pendapatan sebanyak 12,000 Rupiah (RM3.40) sekilogram.

Secara purata, industri itu hanya memberikan pendapatan sebanyak AS$400 (RM1,650) sebulan kepada pengusahanya.

Nilai itu adalah separuh daripada pendapatan yang pernah diperoleh dalam sektor pelancongan.

Ketua Lembaga Pelancongan Bali I, Putu Astawa juga pernah berkata, industri pelancongan masih diperlukan kerana pertanian tidak akan memulihkan semula ekonomi Bali.

Namun bagi beberapa penduduk tempatan, seperti Wayan Ujiana, 51, yang juga seorang guru dan petani rumpai laut menganggap pandemik itu telah memberi pengajaran bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung terhadap sektor pelancongan.

“Jangan lupa untuk mempelbagaikan pendapatan anda. Apabila masalah sebegini terjadi kita tidak akan terjatuh,” tegasnya.

Dalam pada itu, kesan daripada pandemik Covid-19 juga telah memaksa ramai pekerja industri pelancongan di kawasan bandar pulang ke kampung halaman mencari nafkah melalui cara tradisional iaitu bertani dan menangkap ikan.

Ni Kadek Erawati, 40, sebelum ini bekerja di sebuah villa di Tegallalang, sebuah daerah di Bali yang terkenal dengan pemandangan sawah padi.

Tetapi sejak Mac lalu, majikannya meminta dia untuk berehat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

Dengan suaminya yang turut menganggur, mereka perlu membayar yuran sekolah untuk tiga anak sekali gus memaksa wanita itu bercucuk tanam.

Dia kini bekerja di sawah padi bersama sekumpulan petani yang lain.

“Saya tidak pernah bekerja di tengah sawah sebelum ini. Cuacanya terik sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Desa Tembok yang terletak hampir 90 kilometer dari Denpasar menyaksikan ratusan penduduknya yang telah merantau ke bandar utama Bali itu pulang semula ke kampung halaman mereka akibat pandemik Covid-19.

BEBERAPA penduduk Bali kini turut mengusahakan kebun atau bertani bagi meneruskan kehidupa

Sebelum ini lebih 40 peratus daripada 2,300 keluarga di desa tersebut merantau ke bandar untuk bekerja dalam bidang pelancongan.

Ketua Desa Tembok, Dewa Komang Yudi Astara, 34, menjangkakan pandemik tersebut tidak akan berakhir dalam tempoh yang agak singkat.

Atas sebab itu dia mengambil keputusan untuk menyeru penduduk desa tersebut bersamanya bertani sebagai salah satu cara menjana pendapatan.

Sejak April lalu, dia bersama penduduk yang lain telah mengusahakan sebuah ladang tanaman berkeluasan 1.5 hektar.

Di ladang itu mereka menanam sayur-sayuran seperti terung, tomato, cili dan lain-lain lagi.

“Modal untuk mengusahakan kebun ini adalah sekitar Rp100 juta (RM28,000). Ini baru permulaan dan kami akan menambah keluasan kebun ini,” katanya.

Kebun tersebut ternyata telah membantu penduduk Desa Tembok yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Nyoman Jenek Arta, 48, antara penduduk yang bersama mengusahakan kebun itu.

Jenek mengakui pada awalnya dia begitu tertekan pada bulan-bulan awal kembalinya dia ke kampung tersebut. Dia terpaksa berfikir panjang sebelum memutuskan untuk ikut serta bertani.

“Saya mungkin tidak akan kembali bekerja dalam sektor pelancongan. Kita tidak boleh menunggu dan mengharapkan sektor pelancongan kembali dibuka dalam masa terdekat. Kalau ditunggu-tunggu, harapan itu tidak pasti, lebih baik saya bertani,” katanya.

Setelah lebih empat bulan bertani, Jenek merasakan sudah semakin biasa dengan keadaan sekarang meskipun pendapatannya tidak sebanyak semasa dia bekerja dalam sektor pelancongan.

“Walaupun pendapatan kini berkurang namun sudah mencukupi. Kalau dahulu memang pendapatan banyak tetapi banyak juga perbelanjaannya,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI