fbpx

Sang Kenari mahu bangkit pulih reputasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain KDA FC giat menjalani latihan menjelang aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman pada Rabu ini. - KDA FC

ALOR SETAR – Tonggak tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dechi Marcell menegaskan, dia dan rakan sepasukan akan tetap memberikan 100 peratus usaha dalam kempen Piala Malaysia walau apa jua situasi yang melanda pasukan ketika ini.

Ia susulan keputusan pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak membawa haluan berbeza selepas mendapat persetujuan bersama pihak pengurusan KDA FC pada Isnin lalu.

Berita itu pastinya memberikan tamparan besar kepada para pemain langsung kerana Aidil, 45,  sudah membimbing Sang Kenari hampir empat musim sejak dilantik sebagai ketua jurulatih pada 8 Oktober 2018.

“Kami bermula sebagai sebuah pasukan tetapi tidak dapat mengakhirinya bersama. Aidil kini tidak lagi bersama pasukan dan kami mendoakan supaya beliau berjaya walau ke mana jua destinasinya selepas ini.

“Sebagai pemain profesional, kami perlu menyudahkannya sebagai sebuah keluarga. Kami akan menumpukan 100 peratus usaha kepada Piala Malaysia apatah lagi kontrak kami hanya akan berakhir pada akhir musim,” kata pemain import dari Ivory Coast itu.

VICTOR

Kekosongan ditinggalkan Aidil kini bakal diisi sementara waktu oleh penolong jurulatih, Victor Andrag, manakala Abd. Hadi Abd. Hamid akan menggalas tugas jurulatih penjaga gol, Khairul Azman Mohamed yang turut mengikut jejak Aidil meninggalkan KDA FC.

Sementara itu, pemain sayap lincah, Muhammad Fayadh Mohd. Zulkifli berazam untuk bangkit daripada kekalahan menjelang aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman pada Rabu ini.

“Liga Super dan Piala Malaysia sangat berbeza. Rata-rata pemain juga rasanya tiada masalah dengan Victor kerana sudah lama bersama. Saya sendiri pernah dibimbing Victor sejak skuad Piala Presiden.

“Kami akan buktikan sesuatu dan berusaha yang terbaik buat para penyokong. Kami berterima kasih kepada setiap penyokong yang selalu memberi sokongan dalam apa keadaan sekalipun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI