KUALA LUMPUR – Malaysia menambah koleksi pingat kedua pada Kejohanan Berbasikal Para Dunia 2022 di Perancis, kali ini menerusi kejayaan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin.
Yusof Hafizi menaiki podium pingat gangsa selepas mencatat rekod peribadi terbaik satu minit 14.860 saat (s) dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa MC1 di Velodrom Nasional yang bertempat di Saint-Quentin-en-Yvelines semalam.
Pingat emas acara itu menjadi milik pelumba Great Britain, Ruddock Sam, manakala perak pula berjaya dimenangi Ten Argiles Ricardo dari Sepanyol.
Malaysia sebelum ini meraih pingat perak menerusi acara pecut tandem berpasukan campuran yang dibarisi Nur Suraiya Muhammad Zamri-Farina Shawati Mohd. Adnan (jurumudi) dan Muhd. Khairul Hazwan Wahab-Muhd. Khairul Adha Rasol (jurumudi) pada Khamis lalu.
Dua kejayaan itu sememangnya meningkatkan semangat atlet-atlet berbasikal para negara termasuk gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais dan jurumudi, Nurul Suhada Zainal.
“Tandem berpasukan (campuran) dapat perak pun dah berikan kami lebih semangat sebenarnya apatah lagi dengan kejayaan gangsa ini.
“Kami masih ada lagi acara-acara di sini. Kami semua akan buat yang terbaik untuk membanggakan nama Malaysia,” kata Suhada ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ini adalah kejohanan pertama pasukan berbasikal para negara yang merupakan platform terbaik untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Para Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Paralimpik Paris 2024. – KOSMO! ONLINE