KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditahan bersama sejumlah dadah dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Sungai Baru, Kampong Bharu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis menemui sebanyak 59 kilogram (kg) kanabis, methamphetamine (1kg) dan heroin (450 gram) di dalam rumah suspek yang berusia 57 tahun.
“Nilai dadah yang dirampas adalah RM190,200. Ujian air kencing mendapati suspek positif amfetamin, ketamin dan morfin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, suspek memiliki 15 rekod kes dadah dan pernah ditahan di bawah Seksyen 6(1) Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Lelaki itu kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Oktober ini untuk siasatan lanjut,.
Menurutnya, pihak polis akan terus menjalankan siasatan dan risikan ke atas suspek bagi mengesan suspek lain yang terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut. – KOSMO! ONLINE