SEMPORNA – Seorang lelaki ditahan tidak sampai 24 jam selepas merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di daerah ini pada Khamis lalu.
Kejadian pada pukul 8.30 hingga 9.30 malam itu dikatakan berlaku ketika mangsa berada di pekan Semporna sebelum didatangi seorang individu tidak dikenali.
Suspek membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda ke satu lokasi yang tidak diketahui.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.09 tengah malam tadi yang dibuat ibu saudara mangsa.
“Pengadu memaklumkan anak saudaranya (mangsa) dirogol lelaki tidak dikenali. Mangsa ditemui rakannya dalam keadaan lemah di belakang sebuah pasar raya.
“Ekoran laporan itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menangkap suspek di sebuah rumah tidak bernombor pada pukul 2.30 pagi hari sama.
“Suspek adalah lelaki tempatan berusia 40 tahun dan direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Farhan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Semporna sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan. – KOSMO! ONLINE