RIYADH – Tiada jangkitan virus Covid-19 dilaporkan dalam kalangan jemaah umrah sejak ibadah itu dibenarkan semula pada 4 Oktober lalu.
Menurut kenyataan pihak pentadbiran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tiada sebarang simptom wabak maut itu dikesan dalam kalangan jemaah pada hari keempat ibadah umrah dibenarkan, lapor agensi berita Saudi Press.
“Setakat ini, kami sudah menerima kira-kira 24,000 jemaah umrah tetapi belum ada yang menunjukkan simptom dijangkiti virus Covid-19,” kata seorang jurucakap pentadbiran berkenaan.
Tambah jurucakap sama, pihaknya memberi tumpuan kepada empat perkara utama dalam usaha membendung jangkitan koronavirus termasuk pencegahan, pembasmian kuman, pengosongan dan kesedaran.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan kementerian kesihatan dalam menyediakan empat pusat kuarantin bagi menempatkan jemaah yang menunjukkan simptom Covid-19 atau disyaki telah dijangkiti,” ujarnya lagi.
Arab Saudi membuka semula Mekah dan Madinah kepada jemaah umrah dari luar negara pada 4 Oktober lalu selepas menutup kota suci itu pertengahan Mac lepas akibat penularan Covid-19. – Agensi