fbpx

Pembelian panik antara punca bekalan telur berkurangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mark Ujin (kiri) menunjukkan bekalan telur di sebuah pasar raya di Bentong sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 di Bentong hari ini.

BENTONG – Permintaan yang tinggi termasuk pembelian panik ditambah waktu pusingan pengeluaran yang rendah menyebabkan bekalan telur di negeri ini mengalami kekurangan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Mark Ujin berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan telur akan kembali pulih dan mencukupi termasuklah bagi menampung permintaan semasa musim perayaan Deepavali.

“Ia hanya berlaku gangguan bekalan, bukan stok tidak ada tetapi dari segi permintaan tinggi dan pada masa sama pengeluar ada masa ‘down time’ yang mana memerlukan masa untuk kembalikan semula barisan pengeluaran.

“Jadi kita minta orang ramai tidak membuat pembelian panik dengan jumlah yang banyak dan tidak memilih gred tertentu kerana bekalan telur adalah mencukupi,”katanya dalam sidang media Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Menurut Mark, bekalan telur ayam di seluruh negeri akan kembali seperti biasa cuma mengambil sedikit masa lagi selepas bekalan baharu sampai.

Katanya, KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan di seluruh negeri bagi memastikan bekalan telur dan barangan keperluan lain adalah mencukupi untuk kegunaan orang ramai.

Dalam pada itu beliau berkata, pelaksanaan SHMMP Deepavali 2022 akan berkuatkuasa bermula 20 Oktober hingga 26 Oktober melibatkan lapan jenis barangan terkawal sempena perayaan berkenaan.

Katanya, antara barangan terkawal SHMMP Deepavali 2022 ialah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar dan kacang dal.

Sementara itu beliau berkata, sepanjang 10 bulan tahun ini pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 28,128 premis perniagaan yang terdiri daripada pemborong dan peruncit.

Ujarnya sepanjang pelaksanaan SHMMP pelbagai perayaan tahun ini pula sebanyak sembilan kes telah dibuka di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang melibatkan kompaun sebanyak RM2,300 – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI