ALOR SETAR – Kekurangan benih anak ayam masuk ke ladang untuk dipelihara bagi menggantikan ayam tua menjadi antara punca pengurangan bekalan telur dalam pasaran kebelakangan ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, punca lain adalah peningkatan kos bahan mentah makanan ternakan dan kenaikan kos anak ayam serta perubahan cuaca.
“Kita menerima banyak rungutan daripada orang awam berkaitan isu itu yang didakwa berlaku sejak sebulan lalu.
“Sehubungan itu, kita telah menggerakkan seramai 176 Pegawai Penguat Kuasa bagi memantau serta menangani isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.
“KPDNHEP juga turut menjalankan pemeriksaan secara berkala di peringkat pemborong dan peruncit, selain memantau bekalan telur ayam secara berkala ke atas syarikat pengeluar telur di Kedah,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya mendapati banyak aduan mengenai masalah bekalan telur di Kedah.
Katanya, difahamkan ramai peruncit mengeluh kerana permintaan bekalan telur yang diperlukan hanya mendapat separuh dan ini sudah pasti akan menimbulkan masalah.
“Difahamkan ada penternak dikatakan masih kurang senang dengan jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka sehingga mereka sanggup mengurangkan bekalan telur di pasaran.
“Sehingga kini kerajaan hanya memberi subsidi sebanyak lima sen setiap biji berbanding tujuh sen yang mereka mohon. Mungkin ini menyebabkan penternak mengurangkan bekalan supaya permintaan mereka dapat ditunaikan kerajaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE