LAGU ciptaan sepenuhnya komposer, Mario G Klau, Tak Ingin Usai merupakan antara karya nuansa balada dari negara seberang yang menjadi kegemaran ramai termasuk penulis sendiri untuk tahun 2022.
Meskipun wujud suara-suara sumbang yang mempertikaikan kemampuan vokal pelantun versi asalnya, Keisya Levronka terutama ketika menyanyikan secara langsung (live), satu fakta yang tidak patut disangkal atau ditepis adalah lagu tersebut terkandung melodi, komposisi muzik dan nukilan lirik yang indah.
Untuk itu, syabas dan terima kasih buat pihak-pihak yang terlibat dalam urusan penciptaan atau penggubahan antem balada hebat tersebut terutama Mario selaku pencipta lagu dan produser, Tohpati.
Secara peribadi, penulis sudah sedia dilambung ombak kasmaran oleh versi original dinyanyikan Keisya berasal dari Malang, Jawa Timur, Indonesia.
Versi baharu bersama penyanyi tempatan yang dikatakan jelmaan dirinya ‘versi Malaysia’, Nabila Razali juga tidak kurang indahnya.
Saling melengkapi
Tak Ingin Usai – Duet Version antara dua figura itu memberi dimensi baharu apabila berjaya meroket di tangga pertama carta Billboard Indonesia Songs untuk beberapa minggu.
Pencapaian tersebut didukung dengan kejayaan ruang penstriman yang juga kebanyakannya berstatus nombor satu di Indonesia sekali gus terus memekarkan nama Keisya di persada seni republik itu dan negara jiran usai tamat ‘graduasi’ dalam program realiti, Indonesian Idol musim ke-10.
Menyentuh tentang kolaborasi antara Keisya dan Nabila, dari segi listrik vokal yang dicernakan kedua-dua penyanyi itu menjurus terhadap maksud pepatah yang berbunyi buku bertemu ruas.
Namun maksud kiasan tersebut dilihat dalam konteks yang positif.
Bukan merendahkan kemampuan vokal kedua-dua penyanyi itu yang mempunyai sejarah menyanyi live terkucil, namun satu hal pasti, Tak Ingin Usai – Duet Version terus menguatkan impak lagu berkenaan di halwa telinga para pendengar.
Harmoni antara Keisya dan Nabila tercantum serta tersergam indah. Secara vokal, mereka sangat melengkapi antara satu sama lain dan itu adalah kualiti yang bagus buat vokalis yang tahu kemampuan suara masing-masing.
Kalau dalam bahasa yang lebih mudah difahami, nyanyian mereka ‘sedap’ didengari. Barangkali, dari ruang teleskop peminat atau pendengar ada yang menyatakan versi duet Tak Ingin Usai akan jadi berbeza sekiranya kedua-dua penyanyi itu menyanyi secara live.
Itu pendapat masing-masing, namun sebagai seorang peminat muzik Indonesia dan nusantara umumnya, versi baharu lagu tersebut kedengaran lebih mahal.
Perubahan muzik
Tidak banyak perubahan dari segi komposisi muzik. Sungguhpun begitu, paduan vokal dan emosi mereka yang ‘memahalkan’ lagi antem berkenaan.
Keisya dan Nabila barangkali cukup sedar bahawa mereka bukan Aina Abdul mahupun Lyodra. Jadi, bernyanyi sahajalah seikhlas hati dan mendamaikan emosi pendengar.
Bercakap tentang emosi, penulis tidak tahu apa yang ingin diusaikan tetapi mungkin mereka ibarat sedang ‘berbicara’ antara dua jiwa, ‘woman to woman’. Tentang cinta atau kasih sayang yang pernah mahupun sedang terjadi dengan pasangan masing-masing.
Muzik terkadang mengelirukan. Tidak semua penyanyi berstatus ‘powerhouse’ bernasib baik mengukir kerjaya. Keisya dan Nabila beruntung kerana terus dihargai peminat selari kualiti muzik dan vokal mereka terus maju.
Lagu ini merupakan satu pekerjaan yang bukan hanya mengejar komersial semata, namun ada mesej dan dimuatkan dengan kualiti selayaknya.
Markah cemerlang daripada pencinta muzik nusantara yang mengukir ulasan dalam sekeping nota picisan kecil ini.