LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji aksi matang yang ditampilkan barisan pemainnya ketika menewaskan PSV Eindhoven 1-0 dalam saingan Kumpulan A Liga Europa di Emirates awal pagi semalam.
Gol kemenangan hasil jaringan pemain tengah, Granit Xhaka turut memastikan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itumengesahkan slot ke pusingan kalah mati pada saingan Eropah tersebut.
PSV dianggap sebagai pencabar terkuat The Gunners dalam saingan Liga Europa musim ini apabila mereka sering menewaskan lawan dengan jaringan cukup besar, tidak kira berdepan pasukan mana sekali pun.
“Kami menampilkan aksi cukup baik hari ini (semalam) kerana mereka adalah pasukan yang sangat baik. Bagaimanapun, Arsenal menunjukkan karakter sebenar apabila berjaya mendominasi permainan.
“Mungkin kami agak kurang dari segi hantaran untuk menghasilkan jaringan, tetapi saya gembira kerana kami dapat mengutip tiga mata. Sekarang kami sudah layak (pusingan kalah mati) dan ia adalah langkah pertama,” kata Arteta.
Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan pemain sayap, Bukayo Saka tidak berdepan kecederaan serius meskipun dia dilihat menanggung kesakitan selepas diterjah pemain lawan.
“Mungkin dia ada kecederaan kecil selepas diterjah dan kelihatan agak terhincut-hincut. Saya harap dia tidak ada banyak masalah dengan kecederaan tersebut kerana kami amat perlukan khidmatnya,” ujarnya. – AGENSI