fbpx

Bekalan telur di Perak mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Yunus (dua dari kanan) bersama pegawai KPDNHEP Perak membuat pemantauan terhadap pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di Pasar Raya Econsave Parit Buntar hari ini. - Foto WAT KAMAL ABAS

PARIT BUNTAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menegaskan bekalan telur ayam di negeri ini adalah mencukupi, malah pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kekurangan bahan makanan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan telur di negeri ini adalah mencukupi menjelang musim perayaan Deepavali biarpun wujud permintaan tinggi.

“Secara puratanya sebanyak 148.5 juta telur mentah dikeluarkan sebulan oleh 23 pengusaha ladang swasta untuk pasaran tempatan dan kita juga turut menerima bekalan dari beberapa negeri lain.

“Secara umumnya bekalan di negeri ini adalah mencukupi, walaupun ada beberapa kawasan dikatakan mengalami kekurangan,” katanya selepas menghadiri sesi Walkabout dan Pemantauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 di Pasar Raya Econsave Parit Buntar di sini hari ini.

Menurutnya, kekurangan bekalan di beberapa kawasan berkemungkinan akibat berlakunya permintaan tinggi berikutan musim perayaan dan ia bersifat sementara.

“Sekiranya berlaku kekurangan bekalan, pihak KPDNHEP Perak akan membuat perbincangan segera bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak pengeluar bagi menyelesaikan perkara itu dengan segera.

“Setiap hari pihak penguat kuasa dan pegawai membuat pemantauan harga bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan memanipulasi harga barangan terkawal termasuk telur mentah ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus berkata, KPDNHEP Perak telah membuat pemeriksaan terhadap 16,047 premis bermula dari 5 Febuari lalu hingga semalam.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 269 premis telah diambil tindakan membabitkan kesalahan tiada tanda harga dan tiada harga khas merah jambu (255 premis), manakala menjual melebihi harga kawalan melibatkan 14 kes.

“Keseluruhan nilai sitaan yang dibuat oleh KPDNHEP adalah sebanyak RM24,236 dan RM40,00 nilai kompaun dikenakan kepada peniaga yang ingkar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI