KUALA LUMPUR- Aktiviti ekonomi dan industri di Klang, Selangor boleh terus beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula tengah malam ini.
Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Azmin Ali berkata, sidang Majlis Keselamatan Negara hari ini memutuskan untuk membenarkan sektor ekonomi di Daerah Klang untuk terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP).
“Kerajaan menyedari bahawa syarikat dan industri termasuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) telah melabur untuk mewujudkan kemudahan dan langkah-langkah keselamatan dan protokol kesihatan tambahan di premis pekerjaan masing-masing semenjak Kerajaan membuka semula operasi sektor ekonomi pada awal Mei 2020.
“Sehubungan ini, MITI ingin mengingatkan bahawa syarikat-syarikat dan industri yang berkaitan wajib mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan operasi diberhentikan serta merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta dan peraturan semasa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sidang tersebut yang diadakan secara maya itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi untuk membincangkan secara khusus isu penularan pandemik Covid-19 termasuk situasi kes-kes terbaru di Klang.
Katanya, keputusan itu mengambil kira keperluan untuk mengimbangi pelindungan keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan pekerjaan dan usaha menggerakkan ekonomi selain memastikan tiada gangguan rantaian bekalan.
Justeru, pihak berkuasa diarah untuk meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP untuk menjamin keselamatan pekerja-pekerja dan rakyat di daerah Klang.
Tambah Azmin, Klang merupakan pusat aktiviti perindustrian yang besar serta merupakan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion tahun lalu. -K! ONLINE