fbpx

Mekanik lumpuh terlepas hukuman sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ben Khaled dilepaskan daripada hukuman tiga sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. - Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang mekanik lumpuh separuh badan menarik nafas lega apabila dilepaskan daripada hukuman sebatan atas kesalahan memiliki syabu tiga tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.

Tertuduh, Ben Khaled Abd. Molok, 42, yang kini berkerusi roda telah diperintah hukuman tiga sebatan kerana memiliki 17.71 gram (g) methamphetamine oleh mahkamah sama pada 17 Ogos 2020.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas dimaklumkan mengenai kesihatan Ben Khaled yang tidak sesuai untuk hukuman sebat dilaksanakan.

“Mahkamah menggunakan budi bicara Seksyen 291 Kanun Tatacara Jenayah untuk meminda hukuman itu. Saya remit (membatalkan) terus sebatan atas faktor kesihatan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail memaklumkan mahkamah mempunyai bidangkuasa di bawah Seksyen 291 Kanun Tatacara Jenayah untuk meminda hukuman tiga sebatan yang dikenakan terhadap Ben Khaled memandangkan doktor penjara mengesahkan dalam laporannya bahawa lelaki itu tidak sesuai untuk disebat.

Sementara itu, Peguam Hafizuddin Salehuddin mewakili Ben Khaled ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan anak guamnnya sebelum ini telah selesai menjalani penjara tiga tahun dari tarikh ditangkap pada 12 Februari 2019 seperti yang telah dijatuhi Mahkamah Tinggi bagi kesalahan sama memiliki syabu.

“Anak guam telah bebas sepenuhnya daripada kesalahan tersebut selepas mahkamah membatalkan hukuman sebatan dan telah menjalani penjara tiga tahun.

“Setelah selesai dokumentasi di penjara nanti (penjara Kajang) dia akan dibebaskan,” ujarnya.

Berdasarkan pertuduhan, Ben Khaled didakwa memiliki dadah methamphetamine seberat 17.71 g di sebuah bengkel kereta di Taman Perindustrian Tago, Sri Damansara kira-kira pukul 4 petang pada 12 Februari 2019.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak lebih sembilan sebatan rotan.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskan Ben Khalid daripada hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.53g.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said memutuskan sabitan mengedar dadah terhadap Ben Khaled tidak selamat.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI