PETALING JAYA – Seorang lelaki yang juga pengurus hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencampak seekor kucing dari tingkat 15 sebuah pangsapuri di sini Isnin lalu.
Tertuduh Chan Kam Kin, 44, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Kam Kin didakwa melakukan khianat ke atas seekor kucing dengan mencampakkannya dari tingkat 15 hingga menyebabkan kematian terhadap haiwan itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di PJS 8/9 di sini pukul 7.30 malam pada 17 Oktober lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Kailash Sharma merayu agar anak guamnya yang bekerja sebagai pengurus hartanah itu diberi ikat jamin rendah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara seorang anak berusia lapan tahun.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 25 Januari 2023 ditetapkan untuk sebutan kes.
Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki melakukan khianat terhadap haiwan dengan mencampakkan kucing dipercayai milik jirannya dari tingkat 15 di sebuah pangsapuri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang berusia 44 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan pada 17 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE