KEMAMAN – Undi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menjadi penentu sokongan mereka terhadap Bajet 2023 yang dibentangkan pada awal bulan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bajet tersebut terbukti bukan sahaja terbesar dalam sejarah, malah memberi manfaat menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat.
Begitupun jelas beliau, Bajet 2023 hanya boleh diluluskan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat menubuhkan kerajaan sekali gus membolehkan beliau kekal sebagai Perdana Menteri.
“Kuasa untuk menggunakan bajet tersebut adalah di tangan tuan-tuan dan puan-puan untuk memilih pada (PRU15) 19 November ini.
“Tuan-tuan lah yang akan menentukan bajet itu akan dibentangkan semula dan diluluskan untuk kepentingan tuan-tuan atau tidak diluluskan atau dipinda atau dibawa bajet baharu yang tidak memberi faedah sangat kepada tuan-tuan,” katanya pada program Ramah Mesra bersama warga Lembaga Kemajuan Terenganu Tengah (Ketengah) di Bandar Seri Bandi di sini hari ini.
Ismail Sabri memberi jaminan semua perancangan dalam bajet terbabit dan pembangunan yang sedang berjalan serta akan diteruskan sekiranya BN berjaya menawan Putrajaya pada PRU15 kelak.
“Kalau orang (parti) lain yang memegang tampuk pemerintahan (kerajaan), belum tentu projek pembangunan akan dijalankan.
“Dahulu kita pernah merasai orang lain (Pakatan Harapan) menerajui kerajaan, banyak projek-projek (pembangunan) dibatalkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE