PETALING JAYA – Masyarakat dinasihatkan untuk tidak merendah-rendahkan anak luar nikah jika ibunya sudah bertaubat kepada Allah dan anak itu sama sekali tidak berdosa.
Menerusi rakaman video penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, beliau menyeru masyarakat agar mengubah persepsi terhadap anak luar nikah.
“Ubah persepsi manusia. Ajar masyarakat biar reti. Jangan kurang ajar. Kenapa rendah-rendahkan anak luar nikah sedangkan ibunya sudah bertaubat kepada Allah dan anak itu sama sekali tidak berdosa.
“Kenapa masyarakat, kotornya kepala otak mereka menghina anak yang di ‘bin’kan maknya. Jadi yang perlu kita ubah hukum Allah atau minda masyarakat? Kalau masyarakat mencemuh anak haram, masyarakat itu lebih jahat daripada perbuatan haram itu sendiri,” tegas Ustaz Azhar Idrus.
Melalui rakaman video itu, penceramah asal Terengganu itu juga mengulas isu anak luar nikah berdasarkan hadis nabi dan hukum Islam.
“Orang tanya nabi, anak luar nikah itu bin siapa? Nabi kata ‘al Waladu lil Firas’, anak itu bin emak. Jangan lawan hadis nabi.
“Zaman sekarang, pejabat agama beri pandangan, kalau tidak berbinkan emak maka di ‘bin’ kan dengan Abdullah. Kenapa tak boleh bin bapa dia? Kerana itu bukan bapa dia sebab tiada hubungan nikah. Siapa cakap bapa?,” kata Ustaz Azhar.
Azhar juga mengulas tentang sesetengah individu bertindak membinkan anak luar nikah kepada bapanya kerana takut dicemuh oleh masyarakat. Perbuatan ini amat salah di sisi Islam.
“Kemudian bila di ‘bin’ kan dengan Abdullah atau emaknya, masyarakat mencemuh, jadi dia letak bin bapa dia. Salah, jangan lawan undang-undang tuhan,” jelas beliau melalui video tersebut.
Susulan rakaman video itu tular, rata-rata netizen memberikan reaksi yang positif dan berharap agar masyarakat lebih terbuka dan berpandukan hukum Allah.
“Allah itu Maha Adil, jangan nilai manusia melalui mata kita zahaja. Islam itu indah,” komen seorang netizen. – KOSMO! ONLINE