PETALING JAYA – Sebanyak enam negeri dikenakan amaran ribut petir susulan hujan lebat serta angin kencang yang dijangka berlaku hingga 9 malam ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, amaran itu dikeluarkan untuk beberapa daerah di negeri Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.
“Di Perak, amaran ribut petir dikeluarkan bagi daerah Kintar, Kampar dan Batang Padang.
“Sementara di Kelantan pula daerah dikenakan amaran ribut petir ialah di Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang,” katanya di sini hari ini.
Selain itu katanya, amaran sama turut dikenakan di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun di Terengganu.
“Amaran ribut petir turut dikeluarkan bagi daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, dan Raub, Pahang.
“Di Sarawak, amaran ribut petir dikeluarkan bagi daerah Miri (Telang, Usan dan Marudi) serta Limbang. Manakala di Sabah, amaran juga dikeluarkan bagi daerah Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid dan Beluran) dan Kudat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE