fbpx

Bait-Bait Rasa si bintang TikTok, Fatia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK melepaskan peluang yang hadir di depan mata, Fatia teruja kerana dapat menjalin kerjasama dengan komposer hebat seperti Ezra Kong untuk lagu Bait-Bait Rasa.

SELEPAS menjadi artis rakaman Malaysia pertama bawah payung platform video paling popular masa kini iaitu TikTok, bintang baharu bernama Fatia terus mengorak langkah dengan projek terkini.

Fatia muncul dengan single keduanya berjudul Bait-Bait Rasa hasil ciptaan sepenuhnya komposer popular, Ezra Kong.

Ujar Fatia, Bait-Bait Rasa sangat berbeza dengan lagu pertamanya, My World Too terutama dari segi melodi dan konsep muzik.

“Bukan sahaja dari segi melodi dan tema yang lebih lembut serta feminin tetapi gaya vokal dan proses rakaman juga ada perbezaan.

“Saya teruja mencuba genre muzik berlainan dan berharap kreativiti ini akan menarik perhatian peminat baharu,” ujarnya.

TERUS mengorak langkah, Bait-Bait Rasa merupakan single kedua Fatia selepas lagu pertamanya berjudul
My World Too.

Menjelaskan lanjut tentang Bait-Bait Rasa, lagu tersebut menceritakan tentang cinta yang tidak berbalas.

Sedangkan realitinya, dia tidak pernah sekali pun terjebak dengan perasaan cinta terhadap seseorang.

“Lirik lagu ini menangkap perhatian saya serta-merta saat mendengar demo yang dikongsi Ezra buat pertama kali.

“Dalam hidup saya, tak pernah lagi saya jatuh cinta terhadap seseorang. Liriknya ada maksud yang jauh lebih dalam. Mungkin boleh dijadikan pengajaran apabila saya betul-betul menghadapi situasi itu suatu hari nanti,” katanya lagi.

Banyak belajar

Pertama kali bekerjasama dengan Ezra yang merupakan komposer lagu Jampi, Pematah Hati, Anta Permana dan banyak lagi karya hebat lain menimbulkan rasa teruja dalam diri Fatia.

Justeru katanya, ketika proses rakaman Bait-Bait Rasa, dia bersemangat melakukan yang terbaik kerana enggan mengecewakan Ezra.

“Keseluruhan proses rakaman berjalan lancar dan sangat cepat. Saya masuk studio Ezra beberapa kali. Banyak yang saya belajar daripadanya.

“Terutama dari segi persembahan vokal dengan penuh emosi serta menggunakan aspek suara yang berlainan berbanding lagu sebelum ini,” kata Fatia.

SINGLE kedua Fatia menonjolkan sisi berbeza dirinya apabila tampil dengan elemen muzik yang lebih lembut dan feminin.

Puji bakat muda itu lagi, Ezra menggalakkannya untuk lebih yakin dengan suaranya yang sebenar.

Dalam pada itu mengulas tentang video muzik, prosesnya cukup menyeronokkan kerana menyuntik konsep lebih romantik dan feminin.

“Penggambaran video muzik agak unik kerana dirakamkan 1.5 kali lebih laju berbanding lagu sebenar. Jadi dalam video muzik, kelihatan saya seperti menyanyi rap tetapi imej kekal elegan. Agak melucukan,” kongsinya.

Berharap agar Bait-Bait Rasa akan membawa tuah buatnya, Fatia mahu menjadikan lagu tersebut sebagai batu loncatan untuk menonjolkan imej berbeza dirinya di mata peminat.

“Saya memberikan sepenuh jiwa untuk pembikinan lagu ini. Saya harap peminat beri peluang agar lagu ini diterima baik,” ujarnya.

Lagu Bait-Bait Rasa sudah pun tersedia dalam platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 14 Oktober lalu termasuk video muzik rasmi menerusi Youtube Universal Music Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI