TEL AVIV – Pihak berkuasa Israel dilaporkan bimbang kerajaan Australia mungkin mengiktiraf negara Palestin, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Perkembangan itu berlaku susulan pengumuman Canberra menarik balik keputusan pada tahun 2018 yang mengiktiraf Baitulmuqaddis Barat sebagai ibu kota Israel.
Seorang pegawai Israel mengaitkan keputusan tersebut dengan kebimbangan bahawa kerajaan baharu Australia itu akan mengambil langkah seterusnya dengan mengiktiraf negara Palestin, lapor laman berita The Times of Israel.
Pegawai berkenaan dilaporkan tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai kebimbangannya, namun seorang diplomat Israel memberitahu media tempatan bahawa pengiktirafan Canberra kini menjadi kebimbangan utama Rejim Zionis.
Dalam konflik yang berlarutan sejak sebelum 1948, penduduk Israel dan Palestin sering bertempur bagi merebut tanah dengan konfrontasi melibatkan isu keagamaan, negara dan pencabulan hak asasi manusia.
Israel secara berterusan merampas lebih banyak tanah milik penduduk Palestin dan menggunakan alasan ‘langkah keselamatan bagi membanteras keganasan dan pemilikan atas faktor sejarah’ bagi tindakan tersebut.
Bagaimanapun, sebahagian besar masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggap tindakan berterusan Israel merampas tanah rakyat Palestin sebagai tidak sah dan mengiktiraf sebuah negara Palestin berdasarkan garisan sempadan 1967.
Baitulmuqaddis merupakan lokasi panas membabitkan pertikaian wilayah. Pegawai-pegawai Israel sering merujuk kota itu sebagai ‘ibu kota Israel untuk selama-selamanya dan tidak boleh dipisahkan’.
Bagi rakyat Palestin pula, mereka menuntut Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin pada masa depan.
Dalam pada itu, Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata pada Selasa lalu bahawa negaranya komited agar keamanan antara Israel dan Palestin dapat dicapai, justeru, Canberra tidak akan menyokong pendekatan yang menjejaskan prospek tersebut. – Agensi