MUNICH – Pengendali Bayern Munich, Julian Nagelsmann enggan berpuas hati dengan prestasi pasukan sebaliknya percaya barisan pemain boleh merekodkan jaringan yang lebih besar ketika menewaskan Augsburg 5-2 pada aksi Piala Jerman awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, skuad The Bavarian itu meraih jaringan hasil ledakan Eric Maxim Choupo-Moting (dua gol), Joshua Kimmich, Jamal Musiala dan Alphonso Davies, manakala pasukan lawan mendapat jaringan menerusi Mads Pedersen serta gol sendiri Dayot Upamecano.
Kata Nagelsmann, apa yang pemain pamerkan cukup positif, tetapi masih jauh daripada apa yang digambarkan ekoran penyudah yang tidak tajam seperti biasa meskipun berjaya meledak lima gol.
“Ini adalah perlawanan yang klasik kerana kedua-dua pasukan bermain dengan corak permainan terbuka untuk menjaringkan banyak gol. Kita juga memiliki deretan peluang khususnya pada awal saingan, tetapi tidak dapat disudahkan.
“Secara keseluruhan, saya harap pemain dapat memperbaiki kelemahan yang ada dan tidak terlalu berpuas hati kerana apa yang dipamerkan masih jauh daripada kesempurnaan yang saya gambarkan,” kata pengendali dari Jerman itu.
Sementara itu, Choupo-Moting mengakui puas dapat membantu Bayern bangkit melakar kemenangan sekali gus mara ke pusingan seterusnya selepas beraksi hambar pada awal perlawanan.
“Saya gembira dengan prestasi peribadi selepas diberi peluang untuk mengetuai jentera serangan kali ini walaupun ada beberapa peluang yang disiakan. Barisan pemain juga tidak panik dan pasukan layak untuk melakar kemenangan,” katanya. – AGENSI