fbpx

Soniia berterusan dihantui kecederaan buku lali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SONIIA terpaksa menarik diri ekoran kesakitan pada buku lali sukar dibendung pada kejohanan badminton Indonesia Masters kelmarin.

PERSEORANGAN wanita profesional negara, Soniia Cheah terpaksa menamatkan saingan pada kejohanan badminton Indonesia Masters lebih awal apabila tersingkir di pusingan pertama kelmarin.

Bekas perseorangan wanita No.1 negara itu terpaksa akur selepas menarik diri gara-gara kecederaan yang dialami pada set kedua ketika kedudukan 10-21, 1-7, sekali gus meleburkan harapan untuk mara lebih jauh.

Soniia menjelaskan, dia tidak dapat menamatkan perlawanan tersebut apabila buku lalinya semakin membengkak pada pertemuan itu sehingga menyebabkan pergerakannya agak terbatas di dalam gelanggang.

“Keputusan (tarik diri) seperti ini bukanlah seperti yang saya minta tetapi buku lali saya bengkak selain rasa sakit sehingga menyebabkan saya terpaksa berhenti daripada meneruskan permainan.

“Secara jujur, sudah lebih lima tahun saya menanggung kecederaan ini dengan rasa sakit dirasai pada buku lali yang pernah menjalani pembedahan sebelum ini. Bagaimanapun, saya sedia bangkit lebih baik nanti,” katanya.

Sebagai rekod, pemenang pingat emas Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2011 itu memiliki banyak rekod kecederaan sehingga menyebabkan dia pernah menjalani pembedahan tendon Achilles sebanyak empat kali sejak 2013.

Sepanjang saingan musim ini, pemain yang berada pada ranking ke-80 dunia itu hanya menyertai tiga kejohanan sahaja termasuk Indonesia Masters, Cabaran Antarabangsa Indonesia serta Kejohanan Badminton Dunia Ogos lalu.

“Saya tahu bukan mudah untuk saya berdepan kecederaan seperti ini, namun ia tidak akan jadi penghalang untuk saya terus menabur bakti dalam sukan badminton. Terima kasih kepada semua pihak termasuk keluarga dan penaja yang sentiasa menyokong,” ujar Soniia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI