PETALING JAYA – Pelakon, Yana Samsudin memberi amaran kepada pengendali akaun Facebook yang menggunakan nama dan gambarnya tanpa izin supaya membuat permohonan maaf atau berdepan tindakan undang-undang.
Katanya, pihak tidak bertanggungjawab itu membuka akaun laman sosial dengan identiti palsu bagi mengelirukan dan membuat orang ramai tertipu, sedangkan dia tiada kaitan dengan produk menguruskan badan tersebut.
“Boleh saman orang ini sebenarnya. Sebelum saya buat tindakan seterusnya, padam dan buat permohonan maaf. Jangan sampai ‘Kak Yong’ datang.
“Ada pihak yang menyamar menjadi saya, membuat akaun palsu dalam Facebook seolah-olah itu adalah saya yang sebenar.
“Mereka menipu pelanggan di luar sana terutamanya peminat saya untuk menjual barang iaitu produk yang dia cakap, boleh kuruskan badan,” katanya menerusi hantaran video dalam Instagram.
Pelakon dan pengarah itu turut menunjukkan perbezaan paparan foto dirinya yang dimuat naik penyamar berkenaan dengan gambar asal.
Dalam akaun penyamar, fotonya disunting dengan memaparkan pelakon itu memegang produk tersebut.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, segala maklumat mahupun gambar yang dipaparkan adalah palsu semata-mata, selain secara sinis dia turut menyindir pelaku.
“Ini semua tak benar, tak betul dan saya tak pernah pegang. Pertama saya tengok produk itu. Ini gambar sebenar yang sudah disunting.
“Memang kartunlah suntingan dia. Suami saya buat suntingan lagi cantik. Sebenarnya, saya pegang kerepek.
“Ini pula gambar terbaharu saya, pun dia letak. Ini saya sedang makan lontong ya kawan-kawan,” katanya memperincikan setiap gambar yang disalah guna.
Pada masa sama, Yana, 38, menyelar sikap individu mahupun pihak yang hanya mahu mengambil jalan mudah dengan menggunakan foto selebriti untuk melariskan produk mereka.
“Janganlah tipu orang menggunakan gambar selebriti. Lagi pula, kita pun tak tahu, produk dia halal ke tidak, ada (kelulusan) KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) atau tidak.
“Entah ada produk racun berjadual atau tidak. Entah ada babi,” katanya yang menyertakan gambar haiwan berkenaan pada permulaan video.
Senario mempergunakan gambar personaliti popular dalam kempen promosi menerusi media sosial bukan perkara baharu kerana pihak tersebut merasakan mereka boleh terlepas daripada tindakan.
Sebelum ini ramai artis pernah menjadi mangsa termasuk penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza. – KOSMO! ONLINE